Cerpen 3: Bahagia Itu Milik Kita

Cinta Ibarat Rama-Rama, Semakin Di Kejar, Semakin Ia Menjauh

Man Dedak. Atau nama sebenarnya Azman Syazwan Zharif. Merupakan usahawan dedak dan baja yang dihormati serta menjadi kebanggaan orang Kampung Sungai Sawit.

Man Dedak sangat sopan dari segi percakapan dan tingkah lakunya. Sebab itulah ramai orang begitu senang dengan dia.

Sebelum Man Dedak berkahwin dengan Zahra Aisyah, Man Dedak pernah mengejar cinta seorang gadis bernama Atilia Aliya.

Mereka berdua berada di kolej yang sama. Kisahnya bermula apabila Atilia Aliya baru sahaja putus cinta. Man Dedak amat menyukai Atilia Aliya dalam diam. Semasa Atilia Aliya bercinta dengan Afuza Haikal pun Man Dedak berdoa agar Afuza Haikal hilang ingatan lantas tidak kenal dengan Atilia Aliya. Paling tidak pun, Afuza Haikal jadi sawan.

Selepas mengetahui Atilia Aliya putus cinta, Man Dedak cuba mendekati Atilia. Bukan dia sahaja, Kerol Rantau Panjang, Shah Gemuk, Eman Tinggi pun turut memasang impian yang sama iaitu untuk memikat gadis bernama Atilia Aliya ini.

Atilia Aliya. Namanya secantik rupanya. Kalau nak digambarkan di dunia nyata boleh dikatakan mukanya seiras Juliana Evans + Nora Danish + Neelofa + ratu dunia tempat ketiga. Cantik dan manis. Saya sebagai penulis pun teringin jugak nak try mengorat Atilia Aliya ni.

"Heyyy!!! Awak karang je lah cerita ni. Jangan mengada-ngada nak muncul dalam jalan cerita ni," tengking Atilia Aliya kepada penulis. Walaupun dengan nada yang tinggi, suaranya masih lunak dan manja di telinga penulis. Penulis terus menyambung cerita dengan linangan air mata.

***
"Saudari Atilia, mengapa saudari bermuram durja? Tidak kah saudari tahu yang hidup ini terlalu singkat untuk bersedih?," tegur Man Dedak pada Atilia pada suatu petang selepas tamat kuliah.

"Tak ada apa-apalah Man. Saya okay je."

"Saudari Atilia, sudikah saudari menerima saya untuk hadir di dalam hidup saudari? Saya berjanji tidak akan melukai hati saudari."

"Hah?" Atilia berpaling kepada Man Dedak lantas berlalu pergi tanpa sepatah kata.

***
*Seperti hadirnya hujan untuk meredupkan suasana panas, seperti hadirnya mentari untuk menerangi siang dan seperti hadirnya saya untuk memulihkan diri saudari, Atiliaku*

Tanpa ragu-ragu, Man Dedak pun terus menekan butang "Send" pada aplikasi WhatsAppnya. Tidak sampai seminit, mesejnya sudah bertanda "bluetick". Tetapi tiada balasan. Man Dedak tetap sabar menanti.

Setiap malam sebelum tidur Man Dedak pasti akan memutarkan lagu Buka Hatimu - Armada. "Bukaaaaa hatimuuuuuuuuu... bukalah sedikit untukku sehingga diriku bisa memilikimuuuuu," layan Man Dedak dengan penuh feeling.

Selepas dua minggu, usaha Man Dedak mula membuahkan hasil. Akhirnya Atilia Aliya mula memberi maklum balas positif. Atilia terus bersetuju jika Man Dedak mengajak keluar makan ataupun menonton wayang. Makan di kafe kolej pun berdua. Kemana-mana sahaja mesti berdua. Dah macam belangkas.

Kerol Rantau Panjang, Shah Gemuk dan Eman Tinggi pun cemburu melihat kejayaan Man Dedak menawan hati Atilia Aliya.

Hati Man Dedak kian berbunga-bunga. Tiap detik hanya terbayangkan Atilia. Masa dan wang banyak dihabiskan untuk kebahagiaan Atilia. Hadiah paling mahal dihadiahkan oleh Man Dedak ialah seekor patung beruang besar yang sama saiz dengan Atilia Aliya, berharga RM300.

Langit tak selalunya cerah. Kebahagiaan Man Dedak hanya sementara. Tidak sampai sebulan pun dia merasa keindahan alam percintaan.

"Man, Afuza Haikal ingin berbaik semula dengan saya seperti dahulu. Adakah saya patut terima dia balik? Saya sayang dia, Man. Saya tak boleh hidup tanpa dia..."

Kata-kata Atilia Aliya pada petang tadi terngiang-ngiang dalam fikirannya.

"Habis macam mana dengan hubungan kita?" Man Dedak bertanya. Nadanya sedikit kecewa.

"Saya hanya menganggap awak sebagai kawan. Tak lebih daripada itu. Awak terlalu baik untuk saya. Terima kasih Man menemani saya di saat saya kecewa. Maafkan saya." Kata Atilia Aliya seraya berlalu pergi meninggalkan Man Dedak yang masih terkebil-kebil.

"Kawan? Terlalu baik? Habis nak perompak, penagih ke jadi suami kauuu???" jerit Man Dedak di dalam hatinya. Dia tak mampu mengungkapkan kepada Atilia Aliya.

Man Dedak menangis dan tidur bertemankan air mata pada malam itu. Ternyata dia tewas dalam jerat percintaan. Silap dia juga. Dia yang terlalu berharap agar Atilia Aliya membalas cintanya. Atilia langsung tidak memberi kata putus bahawa dia bersetuju menjadi teman wanitanya.

"Sayangggggg, aku kau lupaaaaaaaaaa... Aku kau lukaaaaa tanpa kau sedarrrrrr......" Bertambah sedih hati Man Dedak apabila mendengar lagu Sudah Ku Tahu nyanyian kumpulan Projector Band. "Ishh, Projector Band ni, time aku sedih ni la kau nak nyanyi lagu ni," marah Man Dedak dalam hati.

***
Selepas daripada peristiwa itu, Man Dedak bertekad. Dia tidak lagi ingin bercinta. Dia hanya inginkan seorang isteri yang solehah buat menemaninya dalam suka dan duka.

Cukuplah bakal isterinya nanti sedap mata memandang dan baik budi pekerti. Apa guna sekadar cantik tetapi tidak pandai menjaga hati. Tetapi, buat masa ini dia ingin menumpukan kepada pelajaran terlebih dahulu. Soal jodoh biar Allah yang tentukan.

"Man, perempuan lawa ada tiga jenis je. Pertamanya, perempuan tu bini orang. Kedua, perempuan tu makwe orang. Ketiga, perempuan tu taknak kat engko. Dan Atilia perempuan lawa jenis ketiga dalam hidup engko. Bertabahlah." Kata ibunya pada suatu petang ketika mereka sedang menikmati pisang goreng cheese bersama air kopi panas.

Pesanan ibunya begitu menusuk hati. Kenangan terindah yang begitu sekejap menerjah ruang fikirannya. Dia terasa begitu bodoh kerana banyak menghabiskan wang dan masa untuk perempuan itu. Air mata Man Dedak mula menitis ke dalam air kopi yang diminumnya.

***

Setelah tamat belajar, Man Dedak berusaha untuk menjadi pemborong dedak dan baja yang berjaya. Cita-cita dan impiannya lebih penting. Pada pagi itu, Man Dedak terus pergi ke bank untuk membuat permohonan pembiayaan bagi membesarkan lagi perniagaannya.

"Selamat pagi Encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Sapa seorang pegawai bank bertudung litup sambil tersenyum manis.

Man Dedak membalas senyuman pegawai bank tersebut sambil menjeling tanda nama yang tertera." Zahra Aisyah. Macam nama pelakon." Detik hatinya. Man Dedak terus menyatakan niat dan tujuannya kepada Cik Zahra Aisyah.

Selepas sebulan, permohonan Man Dedak diluluskan. Dalam tempoh sebulan itu juga Man Dedak kerap berulang-alik ke bank untuk meyelesaikan apa yang perlu.

Sungguh, jodoh itu rahsia Ilahi. Rupa-rupanya Man Dedak dan Zahra Aisyah menyimpan rasa yang sama. Kebetulan kedua-duanya masih belum berpunya. Man Dedak menyatakan hasrat hatinya kepada ibu tercinta. Ibunya begitu gembira. Tiga bulan selepas itu, Man Dedak dan Zahra Aisyah disatukan dengan restu keluarga.

Kini, Man Dedak berasa sangat bahagia. Kerana kekecewaanya satu ketika dulu, dia bangkit untuk meneruskan kehidupan. Dia sangat bersyukur. Perancangan Allah itu terbaik. Perniagaan baja dan dedaknya kian maju. Perkara yang paling membahagiakan dia kini ialah Zahra Aisyah, isteri yang dinikahinya secara sah. Tambahan pula Zahra Aisyah disahkan hamil anak mereka.

Tidak ada apa lagi yang Man Dedak inginkan. Dia sangat bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah padanya. Doanya, semoga kebahagiaan sentiasa menjadi miliknya dan semoga Allah sentiasa merahmati keluarga kecilnya ini.


#CeriteraASY
#CerpenSabtuASY