Cerpen 8: Cinta Jangan Pergi

Kadang kala mentari menghilang agar kita tercari-cari di mana sinarnya


Arman Syafiq tersedar daripada tidur yang panjang. Dia melihat sekeliling. Cuba mengingati apa yang terjadi. "Oh, aku berada di hospital sekarang kerana menjalani pembedahan buah pinggang yang rosak." Desis hatinya.

Dia berpaling ke kanan. Cuba mencapai botol yang berisi air untuk membasahkan tekak yang sudah kering. Namun hasratnya terhenti apabila melihat sekeping sampul surat berwarna pink di bawah botol air tersebut. Sampul surat itu dicapai.

Tertera namanya di atas sampul surat tersebut. Dengan dada yang berdebar dia membuka kandungan sampul surat tersebut. Sepucuk surat ditarik keluar lalu dibacanya dengan tenang.

"Assalamualaikum suamiku tercinta, Arman Syafiq. Saat Abang membaca surat ini mungkin Wisha dah pergi jauh daripada hidup Abang. Pemergian Wisha bukan kerana benci tetapi Wisha memberi ruang untuk Abang mencari kebahagiaan dengan si dia.

Maafkan Wisha. Wisha hanya manusia biasa. Wisha tidak sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Wisha tak mampu Abang. Biarlah Wisha pergi jauh daripada hidup Abang. Wisha sentiasa mendoakan kebahagiaan Abang.

Wisha minta maaf kerana tidak dapat menjadi isteri yang sempurna buat Abang. Itu kesilapan Wisha. Kalau tidak, masakan Abang sanggup menduakan kasih Wisha. Halalkan makan minum Wisha dan anak-anak.

Abang, Wisha sangat gembira masa kita mula-mula berkahwin dahulu. Walaupun hidup kita tidak semewah orang lain, Wisha bahagia ada Abang. Kemudian, kita dikurniakan Amsyar Sulhidar dan Amisya Sofea sebagai penyeri rumah tangga.

Abang selalu meluahkan hasrat untuk menyambung pelajaran agar Abang dapat dinaikkan pangkat. Jadi, Abang dapat memberikan kemewahan buat Wisha dan anak-anak. Wisha tak nak semua tu Abang. Wisha dah cukup bahagia dengan apa yang kita ada.

Tetapi, demi menunaikan hasrat Abang, Wisha izinkan Abang menyambung pelajaran dan Wisha menjaga anak-anak. Wisha sanggup bantu Abang membayar yuran pengajian dan belanja. Apa yang penting, hasrat Abang tercapai dan keluarga kita bahagia.

Setelah setahun bertungkus lumus akhirnya Allah makbulkan impian dan cita-cita Abang. Abang peluk Wisha dan anak-anak. Abang ingat tak apa Abang cakap masa tu? Wisha dan anak-anak la semangat dan kekuatan Abang. Tanpa Wisha dan anak-anak Abang tidak akan mampu capai semua ni. Hanya air mata kesyukuran dan kegembiraan yang mengalir saat itu. Wisha berdoa semoga bahagia ini milik kita selamanya.

Saat Wisha rasa Wisha orang yang paling bahagia dalam dunia ni kerana dicintai dan dikasihi Abang dengan sepenuh hati, Wisha silap rupa-rupanya. Cinta Abang telah beralih arah. Rupa-rupanya Wisha berkongsi cinta dan kasih Abang dengan perempuan yang Wisha tidak tahu daripada mana munculnya dan Wisha tak nak ambil tahu.

Saat itu, hanya Allah tahu bagaimana perasaan Wisha. Hanya air mata peneman setia. Wisha rasa dikhianati suami sendiri. Suami yang Wisha sayang dan cinta sepenuh hati. Wisha rasa dunia ini kejam dan tidak adil. Wisha kecewa Abang. Tetapi Wisha bangkit demi Amsyar dan Amisya. Kalau Abang dah tak sayangkan Wisha, Wisha masih ada anak-anak yang selalu kesat air mata Wisha saat Abang duakan cinta Wisha.

Mulut kata benci tetapi hati tetap sayang. Mana mungkin Wisha lupakan kenangan yang pernah kita lalui bersama. Saat Wisha menerima perkhabaran Abang dimasukkan ke hospital kerana buah pinggang, sekali lagi Wisha menangis. Wisha cuba keraskan hati untuk tidak pergi melawat Abang. Tetapi Wisha tak mampu. Tanpa Abang sedar setiap hari Wisha pergi melawat Abang.

Doktor bagi tau Wisha sebelah buah pinggang Abang sudah tidak berfungsi dan memerlukan penderma buah pinggang dengan secepat mungkin. Tanpa ragu-ragu Wisha minta Doktor memeriksa buah pinggang Wisha. Alhamdulillah, buah pinggang Wisha sepadan dengan Abang.

Anggaplah ini sebagai pengorbanan terakhir Wisha untuk Abang. Jagalah buah pinggang tu baik-baik. Wisha juga ingin memohon jasa Abang untuk menjaga dan mendidik Amsyar dan Amisya andai Allah menjemput Wisha pergi.

Akhir sekali, Wisha doakan Abang cepat sembuh dan sentiasa bahagia dengan orang yang Abang sayang. Terima kasih kerana pernah membahagiakan hidup Wisha. Terima kasih juga kerana pernah mengizinkan Wisha menumpang kasih Abang dan berada pada tempat yang teristimewa di hati Abang".

Salam Sayang, 
Dania Darwisha

***


"Nurse! Nurse!" Jerit Arman setelah selesai membaca surat Darwisha. Dia takut Darwisha telah pergi selamanya. Terlalu banyak dosanya kepada isteri yang telah banyak berkorban buat dirinya. Dia kesal. Kesal dengan tindakan bodoh dirinya selama ini.

"Nurse, macam mana keadaan isteri saya? Dia kan yang mendermakan buah pinggang buat saya? Tolong Nurse. Saya perlu berjumpa dengannya." Rayu Arman dengan teresak-esak.


Jururawat menolak Arman dengan kerusi roda untuk melawat Darwisha. Luluh hatinya saat melihat sekujur tubuh terbaring lesu. Dia menghampiri Doktor yang sedang merawat Darwisha.

"Doktor, bagaimana keadaan isteri saya?" Tanya Arman.

"Alhamdulillah. Isteri Encik telah melepasi saat kritikal. Semangatnya begitu kuat. InshaAllah, dia akan sedar nanti. Encik boleh jumpa dia tetapi jangan lama. Biarkan dia berehat." Jelas Doktor Haziq sambil menepuk lembut bahu Arman.

***

Dania Darwisha membuka mata. Alhamdulillah dia sudah sedar. Luka pembedahan masih terasa pedih. Setiap wajah yang mengelilinginya diperhati satu-satu. Dia tersenyum sebagai tanda terima kasih kerana menemani dia saat ini. Sampai pada wajah terakhir, senyumannya mati. Dia terkejut melihat Arman Syafiq berada di sini.

Arman mendekati Darwisha. Saudara mara yang lain berlalu untuk memberi peluang kepada mereka berdua.

"Wisha, maafkan Abang. Banyak dosa Abang pada Wisha. Abang tak sanggup kehilangan Wisha dan anak-anak. Abang janji, Abang akan jaga Wisha dan anak-anak dengan baik. Tolong beri Abang peluang kedua. Abang tak akan sia-siakan peluang itu lagi. Terima kasih Wisha atas pengorbanan yang terlalu besar buat Abang. Abang tak kan mampu balas sampai bila-bila." Bicara Arman dalam sebak.

"Wisha dah lama maafkan Abang. Cuma Wisha tak sanggup untuk berkongsi kasih. Kalau Abang sudah sedar kesilapan lalu, Wisha tidak teragak-agak memberikan Abang sekali lagi peluang demi anak-anak kita. Cuma Wisha harap Abang tidak akan sia-siakan hidup Wisha dan anak-anak lagi". Jelas Wisha dengan linangan air mata.

***

Arman Syafiq bersyukur kerana masih diberikan peluang kedua. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi.


[ASY]
#CerpenSabtuASY