Aku ingat lagi masa aku darjah enam. Pukul 11 pagi dah serupa pukul satu petang... panas kemain. Bulan puasa yang mencabar bagi seorang remaja yang kacak dan maskulin macam aku ni.
Cuaca panas sehingga ada burung murai datang mintak air sejuk rumah aku. Belalang pulak berlumba-lumba nak masuk dalam peti sejuk rumah aku. Haaa... boleh bayang dia punya panas? Boleh?
Tengah sedap-sedap aku tidur, mak aku kejutkan aku suruh beli kunyit, santan dan garam. Nak buat gulai kancil katanya. Tengah malas-malas nak bangun aku layan jugek cakap mak aku tu. Sapa tak sayang mak iye dok? Lagipun masa tu, aku baru pandai bawak motor... spirit nak bawak motor tu tinggilah.
Masa tu kat kampung aku ada satu kedai runcit. 100 meter saja dengan rumah. Nak jadikan cerita, mesin kelapa kat kedai yang dekat tu rosak. Terpaksa lah aku pergi ke kedai runcit yang jauhnya dua kilometer.
Tak jadi masalah lah sebab aku naik motor abah aku. Pulas je kuat-kuat handle minyak terus sampai. Budak kampung, umur sepuluh tahun ke, sebelas ke dah pandai bawak motor... ada umur lapan tahun dah pandai merempit.
Sikit je nak sampai kat kedai tu, motor abah aku habis minyak. Segala kata cacian yang engkau berikan... minyak motorku kosong... kosong ooo. Amboi, ter-Najwa Latif la pulak. Berbalik pada cerita aku tadi, aku parkir motor aku dekat kedai tu. Maka, terpaksa lah aku menapak dua kilometer balik ke rumah.
"Aaaaaaaahhhh... lega," kata aku selepas teguk jus epal berkali-kali. Habis duit mak aku kirim tadi, aku beli jus epal bersaiz besar. Santan, kunyit dan garam aku tak beli.
Gila enko nak jalan dua kilometer dengan cuaca panas tak minum air? Biawak pun berkira-kira nak melintas jalan inikan pula manusia nak jalan kaki dua kilometer.
Aku terus teguk-teguk jus epal itu, sambil melangkah dan terus melangkah. Tengah sedap meneguk jus epal, ada dua orang makwe naik motor lintasi aku. Aku sempat melontarkan senyuman madu pada mereka. Lantas mereka berbisik sesama mereka. Ngumpat aku tak puasa lettew.
Tapi ada aku kesah? Berat tahu keputusan aku nak ambil masa tu. Sama ada nak beli barang mak aku kirim atau jus epal.