Cerpen 10: Kerana Dia Yang Teristimewa

"Aku akan setia di sisimu hingga ke akhir hayat"- Adi Syazwi

Adi Syazwi dan Arfina Irdina sudah lama berkawan sejak daripada zaman universiti lagi. Kini masing-masing sudah mempunyai kerjaya sendiri. Hubungan mereka tetap baik seperti sebelumnya. Bahkan Adi telah berniat di dalam hati untuk melamar Irdina sebagai suri hatinya pada hari lahirnya yang ke 26 pada minggu hadapan.
Bagi Adi, Arfina Irdina sangat istimewa dalam hidupnya. Kerana Irdina jugalah menjadikan siapa dia pada hari ini. Adi masih ingat lagi bagaimana pertemuan pertama dia dengan Irdina di universiti dahulu. Mereka berjumpa ketika sama-sama menghadiri Kem Kepimpinan untuk Majlis Perwakilan Pelajar. Bermula dari saat itu, hubungan mereka semakin rapat.
Arfina Irdina. Orangnya biasa-biasa sahaja. Berkulit sawo matang dan berwajah manis. Keluarga Irdina juga biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan keluarganya yang serba mewah. Namun, bukan rupa paras dan harta benda menjadi ukuran. Kelembutan dan budi pekerti Irdina yang berjaya menawan hatinya. Siapa tidak kenal dengan Adi Syazwi di universiti dahulu. Adi sering kali menjadi kegilaan anak-anak gadis di universiti. Dengan rupa paras yang cukup kacak dan berhidung mancung serta berpenampilan yang cukup menarik, dia mampu menambat hati mana-mana gadis cantik dan seksi di universitinya dahulu. Tambahan pula, Adi berasal daripada keluarga yang berada. Adi gemar berfoya-foya dan sering ponteng kelas. Dia lebih suka menghabiskan masa dengan mana-mana gadis yang cantik dan seksi. Dia lupa dengan pendidikan agama yang telah diberikan oleh mama dan papanya. Dia juga sudah lama tidak bersujud pada yang Maha Esa. Namun, pertemuan dengan Afrina Irdina sedikit sebanyak telah mengubah dirinya. Rakan-rakannya juga mula menjauhkan diri daripadanya sejak dia mula meninggalkan sikap suka berfoya-foya. Adi juga mula sujud pada Yang Maha Esa. Rakan-rakannya sering mengejek dirinya kerana berubah hanya disebabkan seorang perempuan yang tidak punya apa-apa. Kisah keakraban Adi dan Irdina mula diketahui ramai. Yang paling kuat menerima kesannya ialah Irdina. Dia dikecam dan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan. Kata mereka bagaimana Irdina yang tidak punya apa-apa mampu menambat hati Adi Syazwi yang punya segala-galanya. Pasti Irdina menggunakan ubat guna-guna. Dengan kekuatan dan semangat yang diberikan Adi, Irdina pekakkan sahaja telinga. Dia tahu apa yang dia buat. Dia ikhlas berkawan dengan Adi dan Irdina sangat gembira dengan perubahan yang berlaku pada diri Adi. Jika ini harga yang yang perlu dibayar untuk perubahan yang berlaku pada Adi, dia rela. Biarlah dirinya dikecam oleh mereka yang tidak tahu apa-apa. Biar hanya dia, Adi dan Allah sahaja yang tahu apa yang berlaku. ***
Dalam diam rupa-rupanya mereka berdua mempunyai rasa yang sama. Cuma masing-masing tidak pernah meluahkan apa yang mereka rasa. Bagi Adi, dia risau jika Irdina menjauhkan diri daripadanya setelah mengetahui isi hatinya. Irdina pula malu untuk mengungkapkan rasa di hati kerana dia sedar siapa dirinya. Mana layak untuk dia bergandingan dengan Adi. Ibarat enggang dengan pipit.

"Selamat Hari Lahir Adi. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Boleh belanja Dina selalu. Hehe. Semoga cepat-cepat kahwin juga ya :)." 
Satu pesanan dihantar kepada Adi sempena hari lahir Adi pada hari ini. Tidak lama kemudian, telefon bimbit Irdina bergetar tanda ada mesej yang masuk. 
"Terima kasih Dina. Sibuk kerja pun masih ingat hari lahir Adi. Malam ni kita keluar makan. Tapi Dina belanja okey. Ini bukan satu pelawaan. Tapi paksaan. Pukul 8 jumpa di Restoran Kak Ani Ikan Bakar. See you tonight :)"

Pesanan Adi dibaca dengan senyuman di bibir. "Adi, Adi. Hari lahir dia, dia pula yang ajak pergi makan. Tak menyempat aku nak ajak dia dulu yang cakap. Apa-apa je la Adi." Gumam Irdina.

***

Sudah hampir setengah jam Adi menunggu. Namun, bayang Irdina tak juga muncul. "Mana Dina ni. Tak pernah dia lewat macam ni. Selalu mesti dia bagi tahu kalau dia ada hal. Call tak dapat. Mesej tak dibalas." Keluh Adi sendirian.

Suara Aiman Tino mengejutkan Adi. Dia mencapai telefon di atas meja. "Waalaikumussalam. Ya. Ya. Saya Adi. Apa? Di mana dia sekarang? Baik. Baik. Saya akan ke sana sekarang." Setelah selesai menjawab panggilan, Adi terus bergegas ke tempat yang dinyatakan.

"Dina, tolong bertahan. Adi datang jumpa Dina ni." Rintih Adi dengan sebak. Panggilan telefon daripada adik Irdina tadi benar-benar merentap jantungnya. Irdina kemalangan dan kini berada di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultan Abdul Halim. Sepanjang perjalanan dia berdoa semoga keadaan Irdina stabil.

***

Adi masih setia di sisi Irdina sejak semalam. Dia telah menghubungi pejabatnya memaklumkan tentang cutinya untuk seminggu. Dia nekad untuk menemani Irdina di sini. Adi bersyukur kerana Irdina telah melepasi tahap kritikal. Ahli keluarga Irdina juga turut bergilir-gilir menjaga Irdina.

"Along! Along dah sedar." Jerit adik Irdina. Adi yang terlelap di atas sofa tesentak. "Dina. Alhamdulillah. Dina dah sedar." Tanpa Adi sedar ada air mata yang mengalir bersama kata-kata yang diungkapkan tadi. Satu persatu wajah Irdina pandang. "Siapa kamu semua?" Tanya Irdina. Semua yang berada di situ tersentak. 

"Ini Umi, Dina. Dina dekat hospital sekarang." Balas Puan Rina. "Umi? Saya tak kenal. Saya tak kenal kamu semua. Pergi jauh daripada saya." Bentak Irdina. Rina memeluk erat Irdina. Luluh hatinya melihat anak sulungnya begitu. 

***
"Maaf Puan dan Encik. Saya harap anda bertenang bersabar dengan perkara yang bakal saya beritahu ini." Jelas Doktor Aidit kepada Puan Rina dan Adi. Masing-masing menahan debar di dada. "Keadaan Irdina stabil. Cuma dia mengalami masalah hilang ingatan buat sementara. InshaAllah sama-samalah kita berdoa dan memberinya semangat. Saya juga akan mencuba yang terbaik buat Irdina." Kata-kata Doktor Aidit bagai halilintar yang memanah bumi. Puan Rina sudah terkulai layu. Mujur Aidit sempat menahannya.

Adi Syazwi juga terkesan dengan perkhabaran yang baru disampaikan oleh Doktor Aidit. Dia buntu, sedih dan terkilan. Kenapa saat dia mahu mengungkapkan rasa yang sudah lama terpendam, dia diuji begini. Namun, Adi cepat-cepat beristighfar. Sebagai insan yang beragama, mana mungkin dia mengungkapkan kata seperti itu. Ini takdir yang telah tertulis. Pasti ada hikmahnya. 

Lalu Adi melangkah ke surau dan mula bersujud pada Yang Maha Esa. Lama dia bersujud dan berdoa agar Allah memberi kesembuhan kepada Irdina. Dia yakin kuasa Allah mengatasi segalanya. Dia berjanji akan sentiasa berada di sisi Irdina sehingga keadaan Irdina benar-benar pulih. Dia tidak harus mengalah dengan keadaan ini.

Setiap hari Adi akan melawat Irdina setelah habis waktu bekerja. Ada kalanya dia akan menemani Irdina di hospital. Meskipun Irdina tidak dapat mengingati siapa dirinya, dia tetap bersabar. Satu hari, ingatan Irdina pasti akan sembuh semula. 

***

"Adi, Umi. Dina kat mana ni? Kenapa Adi dan Umi tidur atas sofa? Kenapa tak balik rumah?" Tanya Irdina. Soalan Irdina hanya mampu dijawab dengan linangan air mata oleh Puan Rina. Adi juga begitu. Dia sangat sebak. Tangannya menadah kesyukuran kepada Allah. "Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Terima kasih memberi kesembuhan kepada Irdina dan memakbulkan doa kami semua." 

Adi sangat bersyukur kerana Allah telah memberikan kesembuhan kepada Irdina. Kesabaran dan doanya selama ini telah dimakbulkan Allah. Sungguh,  kuasa Allah mengatasi segalanya. Selepas ini, dia nekad untuk melamar Afrina Irdina sebagai suri hatinya. Dia tidak mahu bertangguh lagi.

[ASY]
#CerpenASY
#CerpenSabtuASY