Cerpen 9: Diari Cinta Malikha



Hanya Diari Menjadi Luahan Rasa Cintaku - Aira Malikha




5. Mac. 2016
Aku semakin tidak mengerti dengan perasaan sendiri. Sejak pertemuan pertama dengannya pada minggu lepas, hati ini selalu teringat tentang dirinya. Walaupun pertemuan itu hanya sekadar untuk menyelesaikan sebuah urusan penting. Entah apa yang tidak kena dengan diriku.

7. Mac. 2016
Hari ini aku menerima panggilan telefon daripada si dia. Alangkah gembiranya rasa hati. Terus rasa semangat nak buat kerja. Padahal panggilan itu hanya memaklumkan bahawa urusan takaful aku sudah lulus. Begitu hebat auranya pada diriku. Sepanjang hari aku hanya tersenyum sahaja. Kawan-kawan sekerja juga hairan melihat sikapku sedemikian.

9. Mac. 2016
Hari-hari yang berlalu membuatkan aku semakin merindui dirinya. Jauh di sudut hati aku rasa berdosa dengan Tuhan kerana merindui lelaki ajnabi. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk mengurangkan rasa ini. Aku buntu. Lantas ku panjatkan doa pada Allah memohon petunjuk-Nya.

Aku tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan apa yang harus aku lakukan tentang perasaan ini. Aku mencapai telefon dan mendail nombor sahabat baikku, Armi Adila. Dia satu-satunya sahabat untuk aku berkongsi suka dan duka. Dila menasihati aku supaya meluahkan saja perasaan aku kepada si dia yang selalu bermain di dalam hati, Azwar Syuwari.

Tetapi aku risau. Memang Azwar belum berkahwin. Tetapi aku tidak tahu sama ada dia sudah berpunya ataupun belum. Aku tidak pasti.

12.Mac.2016
Setelah tiga hari puas memikirkan mengenai cadangan dan kata-kata Dila, aku nekad untuk meluahkan rasa ini kepada Azwar. Akan aku cuba lapangkan dada apa sahaja keputusannya. Semakin aku memendam rasa ini, semakin kuat ia mencengkam dada. Aku penat untuk terus begini. Menyimpan rasa dan perasaan yang belum pasti.

13. Mac. 2016
Telefon aku genggam kemas. Aku cuba mengatur ayat sebaik dan secantik yang mungkin. Aku takut aku tersalah langkah. Adakah betul tindakan aku ini? Setelah menarik nafas dan menenangkan diri, jari jemari mula bergerak. Ayat ku susun sebaik mungkin. Setelah puas dengan ayat yang ditaip, butang “send” pada Whatsapp aku tekan.

Jantungku berdetak kencang apabila mendengar bunyi whatsapp yang menandakan ada mesej masuk. Aku merenung telefon Samsung A5 milikku. Lama. Lantas aku mencapai telefon dan membuka peti masuk Whatsapp. “ Aira Malikha, saya cukup senang berkawan dengan awak tetapi tidak lebih daripada itu. Saya harap awak faham. Maaf, hati saya telah terpaut pada insan lain.” Tanpa ku sedar, air mata bergenang di kelopak mata. Aku malu.

17. Mac. 2016
Aku cuba untuk buang dan menepis segala rasa yang ada buat Azwar. Aku sedar mungkin dia bukan jodoh yang terbaik buat aku. Empat hari aku bercuti memberi ruang kepada diri dan hati sendiri. “Azwar Syuwari, mengapa kita harus bertemu dan mengapa aku perlu mempunyai rasa begini padamu. Tahukah engkau betapa sakitnya diri ini merindui orang yang tak sudi? Menyayangi orang yang tidak menyangi kita kembali?“

Hati, tolong kuat. Aku tidak sanggup lagi untuk terus begini. Sejak hari itu, aku dapat rasakan Azwar seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada aku.

18. Mac. 2016
Hari ini aku ingin berehat di rumah sahaja. Namun, satu panggilan masuk membuatkan dadaku berdebar. “Azwar Syuwari”. Dia memberitahu ingin berjumpa aku untuk menyerahkan polisi takaful aku yang telah siap. Entah kenapa hati aku berbunga riang. Meskipun hanya sebab urusan penting, tetapi aku begitu gembira.

19. Mac. 2016
Setelah pertemuan dengan Azwar semalam, hati aku semakin kuat merinduinya. Setiap kali lepas solat, akan kuhadiahkan Al Fatihah buatnya sebagai tanda rinduku. Aku tidak pernah jemu berdoa untuknya.

25. Mac. 2016
Aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana nun jauh di Utara Tanah Air. Mungkin ini yang terbaik. Semoga dengan ini aku akan dapat melupakan Azwar. Aku berdoa agar Azwar bahagia di samping insan yang disayanginya. Suatu hari nanti pasti Allah akan mengurniakan aku kebahagiaan dengan orang yang menyayangi diriku. Cukuplah setakat ini aku merindui dia.

***

Azwar terduduk setelah membaca diari milik Aira Malikha. Diari itu dijumpainya ketika dia menolong membawa kereta Malikha ke bengkel. Kebetulan, dia melalui jalan itu untuk pulang ke rumah. Patutlah Malikha beria-ia menolak pelawaannya untuk membawa kereta ke bengkel.

Sebenarnya dia teragak-agak untuk membuka diari yang dijumpainya di celah kerusi di dalam kereta milik Malikha. Namun, hati dan perasaannya meronta-ronta ingin mengetahui isi diari tersebut. Pasti Malikha tercicir diari ini ketika kelam kabut turun daripada kereta tadi.

Azwar terasa bodoh kerana tidak dapat menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Dia mengejar cinta Uzma Sarhana yang sedikitpun tidak pernah menaruh hati padanya. Cuma dia yang bertepuk sebelah tangan. Ketika itu, sedikit pun dia tidak memberi peluang kepada dirinya untuk mengenali Malikha, yang begitu sayangkannya.

“Masih sayangkah Malikha padanya? Masih adakah sedikit perasaan kasih Malikha padanya?” Soal Azwar di dalam hati. Dia perlu mencari Malikha. Dia perlu memberi peluang kepada dirinya dan Malikha untuk saling mengenali hati budi. Jika hati Malikha sudah tertutup buatnya, dia akan cuba untuk menawan hati itu semula. Itu tekadnya.

***

Azwar terus memandu ke Utara Tanah Air setelah mendapat tahu Malikha berada di sana. Setelah 7 jam memandu, dia tiba di destinasi yang dituju. Satu pesanan ringkas dihantar kepada Malikha. “Assalamualaikum Malikha. Saya nak jumpa awak. Saya berada di hadapan bangunan dewan utama universiti awak.”

Malikha yang baru selesai kuliah begitu terkejut dengan satu pesanan yang baru diterimanya. Dua tiga kali dia melihat nama pengirim Whatsapp tersebut. Dia tidak bermimpi.

Kaki diayun laju ke tempat yang dinyatakan. Pelbagai persoalan bermain di hatinya. Ada hal penting apakah Azwar mencarinya hingga ke sini? “Assalamualaikum”. Sapa Malikha. Azwar yang membelakanginya menoleh.

“Waalaikumussalam. Malikha. Saya minta maaf dengan apa yang pernah terjadi antara kita. Bolehkah awak beri saya peluang kedua? Bolehkah awak beri peluang kepada saya untuk lebih mengenali diri awak? Saya serius. Saya bukan nak main-mainkan awak.” Jelas Azwar panjang lebar.

***     

“Assalamualaikum Azwar. Setelah memikirkan masak-masak mengenai kata-kata awak, saya bersetuju untuk memberi awak peluang. Saya berharap awak tak main-mainkan hati dan perasaan saya. Kalau awak jodoh yang tertulis buat saya, saya sangat bersyukur dan berharap agar Allah mempermudahkan semuanya.” Satu pesanan Whatssapp dihantar kepada Azwar. Malikha telah meminta sedikit masa dan ruang buat dia berfikir.

Azwar meraup muka. Lega. Dia bersyukur kerana Allah membuka hati Malikha untuk memberikan peluang kepada dirinya. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan perempuan sebaik Malikha.

“Jodoh itu rahsia Ilahi dan Dia menetapkan awak untuk saya dan saya untuk awak.” Bisik Azwar Syuwari di dalam hati seraya tersenyum.

[ASY]

#CerpenASY
#CerpenSabtuASY