Cerpen 9: Diari Cinta Malikha



Hanya Diari Menjadi Luahan Rasa Cintaku - Aira Malikha




5. Mac. 2016
Aku semakin tidak mengerti dengan perasaan sendiri. Sejak pertemuan pertama dengannya pada minggu lepas, hati ini selalu teringat tentang dirinya. Walaupun pertemuan itu hanya sekadar untuk menyelesaikan sebuah urusan penting. Entah apa yang tidak kena dengan diriku.

7. Mac. 2016
Hari ini aku menerima panggilan telefon daripada si dia. Alangkah gembiranya rasa hati. Terus rasa semangat nak buat kerja. Padahal panggilan itu hanya memaklumkan bahawa urusan takaful aku sudah lulus. Begitu hebat auranya pada diriku. Sepanjang hari aku hanya tersenyum sahaja. Kawan-kawan sekerja juga hairan melihat sikapku sedemikian.

9. Mac. 2016
Hari-hari yang berlalu membuatkan aku semakin merindui dirinya. Jauh di sudut hati aku rasa berdosa dengan Tuhan kerana merindui lelaki ajnabi. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk mengurangkan rasa ini. Aku buntu. Lantas ku panjatkan doa pada Allah memohon petunjuk-Nya.

Aku tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan apa yang harus aku lakukan tentang perasaan ini. Aku mencapai telefon dan mendail nombor sahabat baikku, Armi Adila. Dia satu-satunya sahabat untuk aku berkongsi suka dan duka. Dila menasihati aku supaya meluahkan saja perasaan aku kepada si dia yang selalu bermain di dalam hati, Azwar Syuwari.

Tetapi aku risau. Memang Azwar belum berkahwin. Tetapi aku tidak tahu sama ada dia sudah berpunya ataupun belum. Aku tidak pasti.

12.Mac.2016
Setelah tiga hari puas memikirkan mengenai cadangan dan kata-kata Dila, aku nekad untuk meluahkan rasa ini kepada Azwar. Akan aku cuba lapangkan dada apa sahaja keputusannya. Semakin aku memendam rasa ini, semakin kuat ia mencengkam dada. Aku penat untuk terus begini. Menyimpan rasa dan perasaan yang belum pasti.

13. Mac. 2016
Telefon aku genggam kemas. Aku cuba mengatur ayat sebaik dan secantik yang mungkin. Aku takut aku tersalah langkah. Adakah betul tindakan aku ini? Setelah menarik nafas dan menenangkan diri, jari jemari mula bergerak. Ayat ku susun sebaik mungkin. Setelah puas dengan ayat yang ditaip, butang “send” pada Whatsapp aku tekan.

Jantungku berdetak kencang apabila mendengar bunyi whatsapp yang menandakan ada mesej masuk. Aku merenung telefon Samsung A5 milikku. Lama. Lantas aku mencapai telefon dan membuka peti masuk Whatsapp. “ Aira Malikha, saya cukup senang berkawan dengan awak tetapi tidak lebih daripada itu. Saya harap awak faham. Maaf, hati saya telah terpaut pada insan lain.” Tanpa ku sedar, air mata bergenang di kelopak mata. Aku malu.

17. Mac. 2016
Aku cuba untuk buang dan menepis segala rasa yang ada buat Azwar. Aku sedar mungkin dia bukan jodoh yang terbaik buat aku. Empat hari aku bercuti memberi ruang kepada diri dan hati sendiri. “Azwar Syuwari, mengapa kita harus bertemu dan mengapa aku perlu mempunyai rasa begini padamu. Tahukah engkau betapa sakitnya diri ini merindui orang yang tak sudi? Menyayangi orang yang tidak menyangi kita kembali?“

Hati, tolong kuat. Aku tidak sanggup lagi untuk terus begini. Sejak hari itu, aku dapat rasakan Azwar seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada aku.

18. Mac. 2016
Hari ini aku ingin berehat di rumah sahaja. Namun, satu panggilan masuk membuatkan dadaku berdebar. “Azwar Syuwari”. Dia memberitahu ingin berjumpa aku untuk menyerahkan polisi takaful aku yang telah siap. Entah kenapa hati aku berbunga riang. Meskipun hanya sebab urusan penting, tetapi aku begitu gembira.

19. Mac. 2016
Setelah pertemuan dengan Azwar semalam, hati aku semakin kuat merinduinya. Setiap kali lepas solat, akan kuhadiahkan Al Fatihah buatnya sebagai tanda rinduku. Aku tidak pernah jemu berdoa untuknya.

25. Mac. 2016
Aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana nun jauh di Utara Tanah Air. Mungkin ini yang terbaik. Semoga dengan ini aku akan dapat melupakan Azwar. Aku berdoa agar Azwar bahagia di samping insan yang disayanginya. Suatu hari nanti pasti Allah akan mengurniakan aku kebahagiaan dengan orang yang menyayangi diriku. Cukuplah setakat ini aku merindui dia.

***

Azwar terduduk setelah membaca diari milik Aira Malikha. Diari itu dijumpainya ketika dia menolong membawa kereta Malikha ke bengkel. Kebetulan, dia melalui jalan itu untuk pulang ke rumah. Patutlah Malikha beria-ia menolak pelawaannya untuk membawa kereta ke bengkel.

Sebenarnya dia teragak-agak untuk membuka diari yang dijumpainya di celah kerusi di dalam kereta milik Malikha. Namun, hati dan perasaannya meronta-ronta ingin mengetahui isi diari tersebut. Pasti Malikha tercicir diari ini ketika kelam kabut turun daripada kereta tadi.

Azwar terasa bodoh kerana tidak dapat menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Dia mengejar cinta Uzma Sarhana yang sedikitpun tidak pernah menaruh hati padanya. Cuma dia yang bertepuk sebelah tangan. Ketika itu, sedikit pun dia tidak memberi peluang kepada dirinya untuk mengenali Malikha, yang begitu sayangkannya.

“Masih sayangkah Malikha padanya? Masih adakah sedikit perasaan kasih Malikha padanya?” Soal Azwar di dalam hati. Dia perlu mencari Malikha. Dia perlu memberi peluang kepada dirinya dan Malikha untuk saling mengenali hati budi. Jika hati Malikha sudah tertutup buatnya, dia akan cuba untuk menawan hati itu semula. Itu tekadnya.

***

Azwar terus memandu ke Utara Tanah Air setelah mendapat tahu Malikha berada di sana. Setelah 7 jam memandu, dia tiba di destinasi yang dituju. Satu pesanan ringkas dihantar kepada Malikha. “Assalamualaikum Malikha. Saya nak jumpa awak. Saya berada di hadapan bangunan dewan utama universiti awak.”

Malikha yang baru selesai kuliah begitu terkejut dengan satu pesanan yang baru diterimanya. Dua tiga kali dia melihat nama pengirim Whatsapp tersebut. Dia tidak bermimpi.

Kaki diayun laju ke tempat yang dinyatakan. Pelbagai persoalan bermain di hatinya. Ada hal penting apakah Azwar mencarinya hingga ke sini? “Assalamualaikum”. Sapa Malikha. Azwar yang membelakanginya menoleh.

“Waalaikumussalam. Malikha. Saya minta maaf dengan apa yang pernah terjadi antara kita. Bolehkah awak beri saya peluang kedua? Bolehkah awak beri peluang kepada saya untuk lebih mengenali diri awak? Saya serius. Saya bukan nak main-mainkan awak.” Jelas Azwar panjang lebar.

***     

“Assalamualaikum Azwar. Setelah memikirkan masak-masak mengenai kata-kata awak, saya bersetuju untuk memberi awak peluang. Saya berharap awak tak main-mainkan hati dan perasaan saya. Kalau awak jodoh yang tertulis buat saya, saya sangat bersyukur dan berharap agar Allah mempermudahkan semuanya.” Satu pesanan Whatssapp dihantar kepada Azwar. Malikha telah meminta sedikit masa dan ruang buat dia berfikir.

Azwar meraup muka. Lega. Dia bersyukur kerana Allah membuka hati Malikha untuk memberikan peluang kepada dirinya. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan perempuan sebaik Malikha.

“Jodoh itu rahsia Ilahi dan Dia menetapkan awak untuk saya dan saya untuk awak.” Bisik Azwar Syuwari di dalam hati seraya tersenyum.

[ASY]

#CerpenASY
#CerpenSabtuASY


Cerpen 8: Cinta Jangan Pergi

Kadang kala mentari menghilang agar kita tercari-cari di mana sinarnya


Arman Syafiq tersedar daripada tidur yang panjang. Dia melihat sekeliling. Cuba mengingati apa yang terjadi. "Oh, aku berada di hospital sekarang kerana menjalani pembedahan buah pinggang yang rosak." Desis hatinya.

Dia berpaling ke kanan. Cuba mencapai botol yang berisi air untuk membasahkan tekak yang sudah kering. Namun hasratnya terhenti apabila melihat sekeping sampul surat berwarna pink di bawah botol air tersebut. Sampul surat itu dicapai.

Tertera namanya di atas sampul surat tersebut. Dengan dada yang berdebar dia membuka kandungan sampul surat tersebut. Sepucuk surat ditarik keluar lalu dibacanya dengan tenang.

"Assalamualaikum suamiku tercinta, Arman Syafiq. Saat Abang membaca surat ini mungkin Wisha dah pergi jauh daripada hidup Abang. Pemergian Wisha bukan kerana benci tetapi Wisha memberi ruang untuk Abang mencari kebahagiaan dengan si dia.

Maafkan Wisha. Wisha hanya manusia biasa. Wisha tidak sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Wisha tak mampu Abang. Biarlah Wisha pergi jauh daripada hidup Abang. Wisha sentiasa mendoakan kebahagiaan Abang.

Wisha minta maaf kerana tidak dapat menjadi isteri yang sempurna buat Abang. Itu kesilapan Wisha. Kalau tidak, masakan Abang sanggup menduakan kasih Wisha. Halalkan makan minum Wisha dan anak-anak.

Abang, Wisha sangat gembira masa kita mula-mula berkahwin dahulu. Walaupun hidup kita tidak semewah orang lain, Wisha bahagia ada Abang. Kemudian, kita dikurniakan Amsyar Sulhidar dan Amisya Sofea sebagai penyeri rumah tangga.

Abang selalu meluahkan hasrat untuk menyambung pelajaran agar Abang dapat dinaikkan pangkat. Jadi, Abang dapat memberikan kemewahan buat Wisha dan anak-anak. Wisha tak nak semua tu Abang. Wisha dah cukup bahagia dengan apa yang kita ada.

Tetapi, demi menunaikan hasrat Abang, Wisha izinkan Abang menyambung pelajaran dan Wisha menjaga anak-anak. Wisha sanggup bantu Abang membayar yuran pengajian dan belanja. Apa yang penting, hasrat Abang tercapai dan keluarga kita bahagia.

Setelah setahun bertungkus lumus akhirnya Allah makbulkan impian dan cita-cita Abang. Abang peluk Wisha dan anak-anak. Abang ingat tak apa Abang cakap masa tu? Wisha dan anak-anak la semangat dan kekuatan Abang. Tanpa Wisha dan anak-anak Abang tidak akan mampu capai semua ni. Hanya air mata kesyukuran dan kegembiraan yang mengalir saat itu. Wisha berdoa semoga bahagia ini milik kita selamanya.

Saat Wisha rasa Wisha orang yang paling bahagia dalam dunia ni kerana dicintai dan dikasihi Abang dengan sepenuh hati, Wisha silap rupa-rupanya. Cinta Abang telah beralih arah. Rupa-rupanya Wisha berkongsi cinta dan kasih Abang dengan perempuan yang Wisha tidak tahu daripada mana munculnya dan Wisha tak nak ambil tahu.

Saat itu, hanya Allah tahu bagaimana perasaan Wisha. Hanya air mata peneman setia. Wisha rasa dikhianati suami sendiri. Suami yang Wisha sayang dan cinta sepenuh hati. Wisha rasa dunia ini kejam dan tidak adil. Wisha kecewa Abang. Tetapi Wisha bangkit demi Amsyar dan Amisya. Kalau Abang dah tak sayangkan Wisha, Wisha masih ada anak-anak yang selalu kesat air mata Wisha saat Abang duakan cinta Wisha.

Mulut kata benci tetapi hati tetap sayang. Mana mungkin Wisha lupakan kenangan yang pernah kita lalui bersama. Saat Wisha menerima perkhabaran Abang dimasukkan ke hospital kerana buah pinggang, sekali lagi Wisha menangis. Wisha cuba keraskan hati untuk tidak pergi melawat Abang. Tetapi Wisha tak mampu. Tanpa Abang sedar setiap hari Wisha pergi melawat Abang.

Doktor bagi tau Wisha sebelah buah pinggang Abang sudah tidak berfungsi dan memerlukan penderma buah pinggang dengan secepat mungkin. Tanpa ragu-ragu Wisha minta Doktor memeriksa buah pinggang Wisha. Alhamdulillah, buah pinggang Wisha sepadan dengan Abang.

Anggaplah ini sebagai pengorbanan terakhir Wisha untuk Abang. Jagalah buah pinggang tu baik-baik. Wisha juga ingin memohon jasa Abang untuk menjaga dan mendidik Amsyar dan Amisya andai Allah menjemput Wisha pergi.

Akhir sekali, Wisha doakan Abang cepat sembuh dan sentiasa bahagia dengan orang yang Abang sayang. Terima kasih kerana pernah membahagiakan hidup Wisha. Terima kasih juga kerana pernah mengizinkan Wisha menumpang kasih Abang dan berada pada tempat yang teristimewa di hati Abang".

Salam Sayang, 
Dania Darwisha

***


"Nurse! Nurse!" Jerit Arman setelah selesai membaca surat Darwisha. Dia takut Darwisha telah pergi selamanya. Terlalu banyak dosanya kepada isteri yang telah banyak berkorban buat dirinya. Dia kesal. Kesal dengan tindakan bodoh dirinya selama ini.

"Nurse, macam mana keadaan isteri saya? Dia kan yang mendermakan buah pinggang buat saya? Tolong Nurse. Saya perlu berjumpa dengannya." Rayu Arman dengan teresak-esak.


Jururawat menolak Arman dengan kerusi roda untuk melawat Darwisha. Luluh hatinya saat melihat sekujur tubuh terbaring lesu. Dia menghampiri Doktor yang sedang merawat Darwisha.

"Doktor, bagaimana keadaan isteri saya?" Tanya Arman.

"Alhamdulillah. Isteri Encik telah melepasi saat kritikal. Semangatnya begitu kuat. InshaAllah, dia akan sedar nanti. Encik boleh jumpa dia tetapi jangan lama. Biarkan dia berehat." Jelas Doktor Haziq sambil menepuk lembut bahu Arman.

***

Dania Darwisha membuka mata. Alhamdulillah dia sudah sedar. Luka pembedahan masih terasa pedih. Setiap wajah yang mengelilinginya diperhati satu-satu. Dia tersenyum sebagai tanda terima kasih kerana menemani dia saat ini. Sampai pada wajah terakhir, senyumannya mati. Dia terkejut melihat Arman Syafiq berada di sini.

Arman mendekati Darwisha. Saudara mara yang lain berlalu untuk memberi peluang kepada mereka berdua.

"Wisha, maafkan Abang. Banyak dosa Abang pada Wisha. Abang tak sanggup kehilangan Wisha dan anak-anak. Abang janji, Abang akan jaga Wisha dan anak-anak dengan baik. Tolong beri Abang peluang kedua. Abang tak akan sia-siakan peluang itu lagi. Terima kasih Wisha atas pengorbanan yang terlalu besar buat Abang. Abang tak kan mampu balas sampai bila-bila." Bicara Arman dalam sebak.

"Wisha dah lama maafkan Abang. Cuma Wisha tak sanggup untuk berkongsi kasih. Kalau Abang sudah sedar kesilapan lalu, Wisha tidak teragak-agak memberikan Abang sekali lagi peluang demi anak-anak kita. Cuma Wisha harap Abang tidak akan sia-siakan hidup Wisha dan anak-anak lagi". Jelas Wisha dengan linangan air mata.

***

Arman Syafiq bersyukur kerana masih diberikan peluang kedua. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi.


[ASY]
#CerpenSabtuASY

Cerpen 7: Tujuh Hari Mencintaimu



Jujur, Ikhlas, Percaya Dan Saling Terima Kekurangan Pasangan Adalah Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga


Suri Adriana. Orangnya tinggi lampai dan berkulit sawo matang. Senyuman manisnya dan lembut bicaranya pasti akan memukau setiap hati yang mengenali dirinya. Bekerja sebagai seorang guru tadika berdekatan rumahnya.

"Suri, duduk sini sekejap. Ada perkara yang Ayah nak cakap dengan Suri." Panggil ayahnya pada suatu hari semasa Suri baru melangkah masuk ke rumah setelah pulang daripada bekerja. Dengan sopan, Suri menurut kata ayahnya. "Tadi, kawan baik Ayah, Pak Cik Dolah dan isterinya Mak Cik Leha datang ke rumah. Mereka datang membawa hajat." Bicara ayahnya.

Suri Adriana diam seribu bahasa. Masih menunggu ayahnya menyambung bicara. "Mereka ingin melamar Suri untuk anak terunanya, Asfa Syuzairi. Tetapi Ayah belum memberi sebarang keputusan. Ayah mesti bertanya dengan Suri terlebih dahulu." Suri memandang wajah ayah dan ibu yang sedang duduk di hadapannya. Wajah itu dipandang lembut. "Ayah dan Ibu suka dengan Asfa Syuzairi?" Tanya Suri.

"Ibu berkenan dengan Asfa tu Suri. Ayah pun. Orangnya sedap mata memandang. Bersopan santun pula tu. Asfa pun ada datang tadi." Bicara Mak Cik Senah sambil tersenyum. "Kalau begitu, Suri terima sahaja. Apa yang baik bagi Ibu dan Ayah, baiklah untuk Suri." Mak Cik Senah terus memeluk Suri. Pak Cik Abu pula tersenyum lebar.

***
Seminggu selepas itu, keluarga Asfa Syuzairi menghantar rombongan meminang. Mereka terus ditunangkan. Itulah kali pertama Suri dan Asfa saling bersemuka. "Terima kasih Suri terima saya. Entah mengapa, saya jatuh hati pertama kali melihat awak semasa kenduri di rumah kakak saya bulan lepas. Apabila Abah dan Emak saya menyatakan hasrat untuk meminang awak, saya sangat gembira. Semoga awak adalah jodoh yang terbaik buat saya". Bicara Asfa sambil tersenyum manis.

Suri membalas senyuman manis itu. "Ya Asfa. Saya juga sudah melakukan istikharah. Hati saya dengan senang memilih awak sebagai teman hidup saya. Saya berharap awak tidak akan sia-siakan hidup saya."

***
Selepas sebulan bertunang, Asfa dan Suri selamat diijabkabulkan. Mereka diraikan dalam majlis yang serba sederhana. "Abang berjanji akan menjaga Suri sehingga akhir hayat Abang. Walaupun kita berkahwin bukan atas dasar cinta, Abang yakin kita boleh bahagia. Cinta selepas nikah itu kan lebih indah, kan Sayang?" Tutur Asfa sambil mengenyitkan mata kepada isterinya.

Asfa dan Suri hanya sempat berbulan madu selama 2 hari kerana tuntutan kerja Asfa. Projek yang diuruskannya mengalami sedikit masalah. "Suri, Abang minta maaf. Abang janji, selepas selesai semua urusan Abang nie, Abang akan luangkan masa bersama Suri. Kita pergi bercuti lagi ya Sayang?" Pujuk Asfa. Dia berasa sangat bahagia. Perasaan yang belum pernah dirasakannya sebelum ini.

"Tidak mengapa Abang, Suri faham. Abang selesaikan dahulu kerja Abang." Balas Suri dengan senyuman yang manis. Asfa begitu sibuk menyelesaikan kerjanya. Pukul 8 pagi dah keluar bekerja. Paling awal pulang ke rumah pukul 10 malam.

"Suri, Abang lapar. Abang nak makan." Beritahu Asfa kepada Suri selepas dia selesai membersihkan diri setelah pulang daripada kerja. "Abang, tadi Abang mesej bagitahu Suri yang Abang makan di pejabat. Tak perlu masak. Jadi, Suri tak masak malam ni. Roti ada la. Suri bakarkan roti untuk Abang ya." Balas Suri seraya bangun untuk pergi ke dapur.

"Tak payahlah!!. Bukannya kenyang pun makan roti. Aku lapar la. Nak makan nasi. Ada isteri pun tak boleh harap!" Tengking Asfa. Dengan tiba-tiba Asfa berubah menjadi seorang yang panas baran.

Suri terkedu. Air mata mula bertakung di kelopak matanya. Ini pertama kali Asfa memarahinya. Suri terus terdiam. Air mata Suri mula menitis.

Terus Asfa mengambil kunci kereta Honda Civic nya. Pintu rumah ditutup kuat. Lalu memecut laju menuju ke kedai mamak yang berdekatan.

***
"Abang, jom sarapan. Suri dah masak nasi lemak kegemaran Abang." Ajak Suri. "Nanti aku sarapan di pejabat je." Balas Asfa seraya berlalu pergi tanpa menoleh kepada Suri. Sekali lagi, luluh hati Suri. Dia tidak tahu apa yang buat Asfa berubah. Di manakah silapnya?

Genap seminggu mereka mendirikan rumah tangga. Entah kenapa bahagia yang dirasa pada awal perkahwinan terasa hambar. Semakin hari semakin kurang komunikasinya dengan Asfa. Sedang dia mengelamun memikirkan masalah rumah tangga mereka, bunyi enjin kereta mengejutkan lamunannya. Suri melihat jam di dinding. Baru pukul 5 petang. Awal pula suaminya pulang hari ni.

"Abang, Suri ada buatkan air milo ni dengan pisang goreng. Jom kita minum." Panggil Suri. "Nantilah. Aku penat." Balas Asfa seraya berlalu naik ke bilik. Suri mengeluh. Suri menahan sebak.

"Kenapa aku diperlakukan sedemikian rupa. Apa silap aku?" Rintih Suri di dalam hati.

***
Suri oooo Suri.. Sayang... Sayang... Ayanggggg..." Panggilan Asfa tidak bersahut. Bilik berselerak, baju kotor di dalam baldi sudah bertimbun.

"Sayang kenapa tidak kejut Abang, lewat dah nak pergi kerja. Sayang ooii." Jerit Asfa.

Dia membuka almari. Kosong. Asfa termenung. Rupa-rupanya dia dengan Suri sudah bercerai. Salah dia juga, panas baran. Siapa yang tahan dengan orang yang panas baran. 7 hari berkahwin sudah bercerai-berai. Panas baran punya pasal.

Hari ini merupakan hari pertama dia dilabel duda. Dia begitu terasa kehilangan Suri. Rindu pada Suri semakin kuat mencengkam dada. Tiada siapa yang akan menyediakan sarapan pagi. Baju kerja juga masih berkedut. Bilik pula bersepah.

"Kalaulah aku bersabar sikit, pasti aku dan Suri sedang berbahagia. Semuanya silap aku. Terlalu ikutkan hati." Rintih Asfa.

"Sayang... Sayang buat apa sekarang. Rindukah Sayang pada Abang? Masih sayangkah Sayang pada Abang?" Keluh Asfa.

"Gila. Tujuh hari kahwin dah bercerai. Bodoh betul aku ni. Bodoh! bodoh!" Asfa menghantuk kepala sekuat-kuatnya di dinding. Setiap hentakan satu perkataan bodoh terkeluar daripada mulutnya. Dia sangat menyesal dan berasa bodoh sangat atas tindakan dia.

"Aduh, sakitnya!" Tubuhnya sudah selamat mendarat di atas lantai. Asfa melihat sekeliling. Dia bermimpi rupa-rupanya.

"Suri!!! Suri!!!" Jerit Asfa. Dia bergegas mendapatkan Suri di ruang tamu. Terus dia memeluk Suri sekuat hatinya. Asfa menyambung bicara, "Jangan pernah terfikir untuk tinggalkan Abang. Abang minta maaf dengan apa yang berlaku. Abang berjanji tidak akan buat macamtu lagi pada Suri."

"Suri tak pernah berdendam dengan Abang dan Suri tak pernah berniat untuk tinggalkan Abang. Abang nyawa Suri. Suri nak hidup dengan Abang hingga ke akhir hayat." Bicara Suri dengan sebak.

Dia tidak tahu mengapa Asfa tiba-tiba memohon maaf padanya. Walau apapun sebabnya, itu tidak penting. Apa yang penting, dia sudah mendapatkan suaminya yang dahulu. Suri mengucapkan syukur yang tidak terhingga di dalam hatinya.

Balik kerja tadk terus tidur sampai bermimpi pengajaran. Pengajaran yang berguna untuk diri Asfa Syuzairi.

***
Asfa bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berubah. Mimpinya telah menyedarkan tentang kesilapan yang dia lakukan. Dia cuba mengubah sedikit demi-sedikit panas barannya. Jika dia rasa hendak marah, dia cepat-cepat beristighfar. Dia tidak boleh terlalu ikutkan hati.
Dia berjanji tidak akan bersikap begitu lagi kepada Suri. Dia juga berjanji kepada dirinya sendiri akan sentiasa menghargai Suri dan menyayangi isterinya hingga ke akhir hayat.

***

Pengajaran:
Mula-mula kahwin, ada tak kau rasa tak kena itu ini, rasa nak marah pasangan kau tak tentu pasal. Kau kena banyak bersabar. Adat la tu baru nak belajar hidup berumah tangga.
Dalam rumah tangga kena banyak tolak ansur. Saling berkongsi rasa. Jangan pendam masalah sorang-sorang.
Nak bina rumah tangga tu senang. Tapi nak pertahankan tu sangat sukar. Kau dengan pasangan kau kena saling percaya, jujur dan ikhlas mencintai satu sama lain.
Kau bercinta 5 tahun belum tentu kau kenal pakwe kau yang sebenarnya. Lepas kahwin barulah kau tahu perangai dia. Masa tu, kau kena terima dia seadanya. Kah!

[ASY]