Cerpen 10: Kerana Dia Yang Teristimewa

"Aku akan setia di sisimu hingga ke akhir hayat"- Adi Syazwi

Adi Syazwi dan Arfina Irdina sudah lama berkawan sejak daripada zaman universiti lagi. Kini masing-masing sudah mempunyai kerjaya sendiri. Hubungan mereka tetap baik seperti sebelumnya. Bahkan Adi telah berniat di dalam hati untuk melamar Irdina sebagai suri hatinya pada hari lahirnya yang ke 26 pada minggu hadapan.
Bagi Adi, Arfina Irdina sangat istimewa dalam hidupnya. Kerana Irdina jugalah menjadikan siapa dia pada hari ini. Adi masih ingat lagi bagaimana pertemuan pertama dia dengan Irdina di universiti dahulu. Mereka berjumpa ketika sama-sama menghadiri Kem Kepimpinan untuk Majlis Perwakilan Pelajar. Bermula dari saat itu, hubungan mereka semakin rapat.
Arfina Irdina. Orangnya biasa-biasa sahaja. Berkulit sawo matang dan berwajah manis. Keluarga Irdina juga biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan keluarganya yang serba mewah. Namun, bukan rupa paras dan harta benda menjadi ukuran. Kelembutan dan budi pekerti Irdina yang berjaya menawan hatinya. Siapa tidak kenal dengan Adi Syazwi di universiti dahulu. Adi sering kali menjadi kegilaan anak-anak gadis di universiti. Dengan rupa paras yang cukup kacak dan berhidung mancung serta berpenampilan yang cukup menarik, dia mampu menambat hati mana-mana gadis cantik dan seksi di universitinya dahulu. Tambahan pula, Adi berasal daripada keluarga yang berada. Adi gemar berfoya-foya dan sering ponteng kelas. Dia lebih suka menghabiskan masa dengan mana-mana gadis yang cantik dan seksi. Dia lupa dengan pendidikan agama yang telah diberikan oleh mama dan papanya. Dia juga sudah lama tidak bersujud pada yang Maha Esa. Namun, pertemuan dengan Afrina Irdina sedikit sebanyak telah mengubah dirinya. Rakan-rakannya juga mula menjauhkan diri daripadanya sejak dia mula meninggalkan sikap suka berfoya-foya. Adi juga mula sujud pada Yang Maha Esa. Rakan-rakannya sering mengejek dirinya kerana berubah hanya disebabkan seorang perempuan yang tidak punya apa-apa. Kisah keakraban Adi dan Irdina mula diketahui ramai. Yang paling kuat menerima kesannya ialah Irdina. Dia dikecam dan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan. Kata mereka bagaimana Irdina yang tidak punya apa-apa mampu menambat hati Adi Syazwi yang punya segala-galanya. Pasti Irdina menggunakan ubat guna-guna. Dengan kekuatan dan semangat yang diberikan Adi, Irdina pekakkan sahaja telinga. Dia tahu apa yang dia buat. Dia ikhlas berkawan dengan Adi dan Irdina sangat gembira dengan perubahan yang berlaku pada diri Adi. Jika ini harga yang yang perlu dibayar untuk perubahan yang berlaku pada Adi, dia rela. Biarlah dirinya dikecam oleh mereka yang tidak tahu apa-apa. Biar hanya dia, Adi dan Allah sahaja yang tahu apa yang berlaku. ***
Dalam diam rupa-rupanya mereka berdua mempunyai rasa yang sama. Cuma masing-masing tidak pernah meluahkan apa yang mereka rasa. Bagi Adi, dia risau jika Irdina menjauhkan diri daripadanya setelah mengetahui isi hatinya. Irdina pula malu untuk mengungkapkan rasa di hati kerana dia sedar siapa dirinya. Mana layak untuk dia bergandingan dengan Adi. Ibarat enggang dengan pipit.

"Selamat Hari Lahir Adi. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Boleh belanja Dina selalu. Hehe. Semoga cepat-cepat kahwin juga ya :)." 
Satu pesanan dihantar kepada Adi sempena hari lahir Adi pada hari ini. Tidak lama kemudian, telefon bimbit Irdina bergetar tanda ada mesej yang masuk. 
"Terima kasih Dina. Sibuk kerja pun masih ingat hari lahir Adi. Malam ni kita keluar makan. Tapi Dina belanja okey. Ini bukan satu pelawaan. Tapi paksaan. Pukul 8 jumpa di Restoran Kak Ani Ikan Bakar. See you tonight :)"

Pesanan Adi dibaca dengan senyuman di bibir. "Adi, Adi. Hari lahir dia, dia pula yang ajak pergi makan. Tak menyempat aku nak ajak dia dulu yang cakap. Apa-apa je la Adi." Gumam Irdina.

***

Sudah hampir setengah jam Adi menunggu. Namun, bayang Irdina tak juga muncul. "Mana Dina ni. Tak pernah dia lewat macam ni. Selalu mesti dia bagi tahu kalau dia ada hal. Call tak dapat. Mesej tak dibalas." Keluh Adi sendirian.

Suara Aiman Tino mengejutkan Adi. Dia mencapai telefon di atas meja. "Waalaikumussalam. Ya. Ya. Saya Adi. Apa? Di mana dia sekarang? Baik. Baik. Saya akan ke sana sekarang." Setelah selesai menjawab panggilan, Adi terus bergegas ke tempat yang dinyatakan.

"Dina, tolong bertahan. Adi datang jumpa Dina ni." Rintih Adi dengan sebak. Panggilan telefon daripada adik Irdina tadi benar-benar merentap jantungnya. Irdina kemalangan dan kini berada di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultan Abdul Halim. Sepanjang perjalanan dia berdoa semoga keadaan Irdina stabil.

***

Adi masih setia di sisi Irdina sejak semalam. Dia telah menghubungi pejabatnya memaklumkan tentang cutinya untuk seminggu. Dia nekad untuk menemani Irdina di sini. Adi bersyukur kerana Irdina telah melepasi tahap kritikal. Ahli keluarga Irdina juga turut bergilir-gilir menjaga Irdina.

"Along! Along dah sedar." Jerit adik Irdina. Adi yang terlelap di atas sofa tesentak. "Dina. Alhamdulillah. Dina dah sedar." Tanpa Adi sedar ada air mata yang mengalir bersama kata-kata yang diungkapkan tadi. Satu persatu wajah Irdina pandang. "Siapa kamu semua?" Tanya Irdina. Semua yang berada di situ tersentak. 

"Ini Umi, Dina. Dina dekat hospital sekarang." Balas Puan Rina. "Umi? Saya tak kenal. Saya tak kenal kamu semua. Pergi jauh daripada saya." Bentak Irdina. Rina memeluk erat Irdina. Luluh hatinya melihat anak sulungnya begitu. 

***
"Maaf Puan dan Encik. Saya harap anda bertenang bersabar dengan perkara yang bakal saya beritahu ini." Jelas Doktor Aidit kepada Puan Rina dan Adi. Masing-masing menahan debar di dada. "Keadaan Irdina stabil. Cuma dia mengalami masalah hilang ingatan buat sementara. InshaAllah sama-samalah kita berdoa dan memberinya semangat. Saya juga akan mencuba yang terbaik buat Irdina." Kata-kata Doktor Aidit bagai halilintar yang memanah bumi. Puan Rina sudah terkulai layu. Mujur Aidit sempat menahannya.

Adi Syazwi juga terkesan dengan perkhabaran yang baru disampaikan oleh Doktor Aidit. Dia buntu, sedih dan terkilan. Kenapa saat dia mahu mengungkapkan rasa yang sudah lama terpendam, dia diuji begini. Namun, Adi cepat-cepat beristighfar. Sebagai insan yang beragama, mana mungkin dia mengungkapkan kata seperti itu. Ini takdir yang telah tertulis. Pasti ada hikmahnya. 

Lalu Adi melangkah ke surau dan mula bersujud pada Yang Maha Esa. Lama dia bersujud dan berdoa agar Allah memberi kesembuhan kepada Irdina. Dia yakin kuasa Allah mengatasi segalanya. Dia berjanji akan sentiasa berada di sisi Irdina sehingga keadaan Irdina benar-benar pulih. Dia tidak harus mengalah dengan keadaan ini.

Setiap hari Adi akan melawat Irdina setelah habis waktu bekerja. Ada kalanya dia akan menemani Irdina di hospital. Meskipun Irdina tidak dapat mengingati siapa dirinya, dia tetap bersabar. Satu hari, ingatan Irdina pasti akan sembuh semula. 

***

"Adi, Umi. Dina kat mana ni? Kenapa Adi dan Umi tidur atas sofa? Kenapa tak balik rumah?" Tanya Irdina. Soalan Irdina hanya mampu dijawab dengan linangan air mata oleh Puan Rina. Adi juga begitu. Dia sangat sebak. Tangannya menadah kesyukuran kepada Allah. "Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Terima kasih memberi kesembuhan kepada Irdina dan memakbulkan doa kami semua." 

Adi sangat bersyukur kerana Allah telah memberikan kesembuhan kepada Irdina. Kesabaran dan doanya selama ini telah dimakbulkan Allah. Sungguh,  kuasa Allah mengatasi segalanya. Selepas ini, dia nekad untuk melamar Afrina Irdina sebagai suri hatinya. Dia tidak mahu bertangguh lagi.

[ASY]
#CerpenASY
#CerpenSabtuASY

SIRI 1: ASB FINANCING FOR NEWBIES





Ramai lagi masih belum menguasai kebaikan pembiayaan ASB untuk menambah ekonomi keluarga dan meningkatkan kewangan dalam simpanan. 
Umur 30 tahun pun masih tak ada lagi deposit untuk beli rumah. Sebab gagal menguruskan kewangan dengan berkesan.
Kenapa ramai orang Melayu masih kena tipu dengan skim cepat kaya? 
Main MLM, penipuan gores dan menang, penipuan deposit rumah?. Sebab tak ada ilmu. Ya ilmu. Masa muda duk suka-suka dan gagal merancang kewangan. Bila masuk 30 tahun baru nak menyesal. Itu biasa je kita dengar.

Soal jawab dibawah untuk pemahaman korang pasal pembiayaan ASB ni.
Soalan (S), Jawapan (J) berdasarkan pemahaman aku berpandukan dengan ilmu kejuruteraan kewangan yang tak seberapa. Kalau otai nak baiki. Silakan.

1. S: CIMB, Maybank, RHB, Affinbank mana satu bagus?
J: Saranan aku buat yang berkonsepkan Islamik. ASB Financing (Pembiayaan ASB). Bukan apa, yang Islamik ni tiada lock in period. Lock in period ni tempoh masa kau tak boleh terminate. Biasanya 2 tahun. Kalau kau nak terminate dalam masa setahun pun tak kena penalti. Kau tak akan kena denda jika lewat bayar sehari dua.

2. S: Berapa tahun elok?
J: Kalau ada pembiayaan 30 tahun, ambil 30 tahun. Tapi sekarang CIMB je ada 30 tahun. Kenapa 30 tahun? Bayaran bulanan kau tiap tahun akan murah. Simple. Dan kau tak akan terbeban dengan komitmen bulanan

3. S: Alaaa... 30 tahun..lambat lagi laa dapat RM200K. 
J: Kau nak RM200K je keeee? Kalau engko main apply lepastu terminate, dan reapply balik sampai lebam dapat lebih RM200K tahu.

4. S: Macam mana nak terminate?
J: Pergi je bank mana kau buat pembiayaan tu. Bawa surat tawaran pembiayaan ASB awal dulu. Proses dia mungkin ambil masa sikit untuk kau dapat hasil teminate tu. Jangan mengamuk kalau ambil masa 2,3 bulan. Bukan kau sorang je ada ASBF ni.

5. S: Nak ambil takaful ke tak?
J: Ikut kau la. Jika Maybank, takaful dalam pembiayaan ASB wajib. Tapi dengan CIMB boleh pilih. Kalau matlamat nak terminate dalam 1-5 tahun baik tak payah ambil takaful. 

6. S: Alaaaa..tapi ASBF ni rugi... bank untung... tak suka loan. Kena bayar bunga. Baik simpan sendiri.
J: Okay, simpan la sendiri.Tapi lagi untung jika guna OPM (Other People Money). Kau bayar RM285 kepada bank, tapi baki terendah bulanan dalam ASB kau seolah-olah dah ada RM50,000.

7. S: Bestnya. Dalam ASB dah ada RM50,000. Nak tunggu ada RM50,000 untuk melabur memang tak lah kan?
J: Haa... inilah kau tak tahu. Pihak bank tolong belikan kau sijil ASB RM50K daripada ASNB dan simpan sijil ASB tu. Jadi kau bayar ASB ansuran je tiap bulan kepada bank. Masa pengiraan dividen, pihak ASNB akan umumkan berapa dividen tahunan dan ASNB akan kira seolah-olah kau dah ada RM50K. Semakin tinggi nilai pembiayaan ASB kau, semakin besar dividen kau akan dapat.

8. Wah... kalau macam tu baik buat Pembiayaan ASB 500K.
J: ASBF ni ada maksimum RM200K je. Jika dah maksimum RM200K kat ASB (buku biru,kau buat pembiayaan ASB 2 pula. Penuhkan di ASB terlebih dahulu baru pergi ASB 2. Sekarang kau boleh buat maksimum pembiayaan ASB 2 (buku ungu). Jadi setiap orang boleh maksimum RM400K.

9. S: Saya gaji sikit je, tak mampu buat ASBF RM200K.
J: Kalau nak kira mampu ke tak, sampai bila kau tak akan mampu. Kau boleh cuba buat ASBF RM50K dulu. Bayaran dalam RM285. Tahun berikutnya tambah lagi RM50K. ASBF lama bayar guna dividen je. Komitmen masih sama RM285. Cukup 4 tahun penuh ASBF RM200K kau tu. Komitmen masih sama kan? Alah, kau beli kereta Almera RM600 sebulan mampu bayar pulak.

10. S: Tapi baik simpan dekat Tabung Haji.
J: Ikut kau lah. Kalau kau boleh disiplin simpan tiap bulan okay je. Ini tidak, Sogo ada jualan murah je menggelupur pergi Sogo. Pembiayaan ASB ni melatih kau untuk menyimpan secara paksa. Dan pelaburan dalam masa sama. Rekod CCRIS kau juga cantik. Nak beli rumah senang bila bank tengok kau mampu bayar je setiap bulan.

11. S: Kenapa kena buat ASBF ni?
J: ASBF ni akan buat kau dapat menyimpan secara berkesan. Takdelah nanti kau dapat gaji, kau tak sempat menyimpan kan. Dapat gaji tak tahu duit hilang ke mana. Kau nak buat pembiayaan rumah kan nanti. Pihak bank nak kena tengok rekod pembayaran balik kau dengan pihak bank. Kalau kau tak ada rekod, pihak bank tak berapa nak layan sangat. Boleh bina ukuwah dengan orang bank jadi senang la pembiayaan rumah kau senang diluluskan. Lagi satu mengajar kau bayar komitmen tepat pada waktunya. Jangan rosakkan atau lambatkan pembayaran. Rosak CCRIS nanti susah.

12. Kalau tak nak terminate ASBF boleh ke?
J: Boleh. Jika pembiayaan Islamik tak ada lock in period. Boleh terminate bila-bila masa. Janganlah bulan ni buat bulan depan dah nak terminate. Itu tunjukkan kemampuan kewangan kau barai. Bayar tahun pertama, rolling dividen sampai habis bayar. Itu ikut perancangan kau. Kalau kau nak pakai tunai untuk buat deposit rumah terminate je. Sekurang-kurangnya kau dah ada duit dan tak membazir ke benda tak elok. Ini salah satu pelan pelaburan nak ada tunai dengan cepat.

13. S: Abang ni orang bank ke? Banyak betul abang tahu.
J: Abang kerja biasa je dik. Abang bukan orang bank mahupun ejen jual takaful. Ataupun ahli MLM nak ajak kau jadi downline abang. Tak dapat satu sen pun ke abang. Abang nak sedarkan korang je, tiada jalan pintas nak kaya. Membaca jabatan ilmu. Engko main Facebook 7 jam sehari dapat satu ilmu sehari kira okay dah dik. Jangan nak ngorat makwe lawa je kerja.

14. S: Tapi kalau bayaran ansuran naik macam mana?
J: Eh engko ni banyak pulak tapinya. Cuba la buat dulu baru analisis. Tengok momentum dia macam mana. *Ikat kat pokok ada kerengga*

Pilih yang molek nak hadam je tau. Sekian.

Cerpen 9: Diari Cinta Malikha



Hanya Diari Menjadi Luahan Rasa Cintaku - Aira Malikha




5. Mac. 2016
Aku semakin tidak mengerti dengan perasaan sendiri. Sejak pertemuan pertama dengannya pada minggu lepas, hati ini selalu teringat tentang dirinya. Walaupun pertemuan itu hanya sekadar untuk menyelesaikan sebuah urusan penting. Entah apa yang tidak kena dengan diriku.

7. Mac. 2016
Hari ini aku menerima panggilan telefon daripada si dia. Alangkah gembiranya rasa hati. Terus rasa semangat nak buat kerja. Padahal panggilan itu hanya memaklumkan bahawa urusan takaful aku sudah lulus. Begitu hebat auranya pada diriku. Sepanjang hari aku hanya tersenyum sahaja. Kawan-kawan sekerja juga hairan melihat sikapku sedemikian.

9. Mac. 2016
Hari-hari yang berlalu membuatkan aku semakin merindui dirinya. Jauh di sudut hati aku rasa berdosa dengan Tuhan kerana merindui lelaki ajnabi. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk mengurangkan rasa ini. Aku buntu. Lantas ku panjatkan doa pada Allah memohon petunjuk-Nya.

Aku tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan apa yang harus aku lakukan tentang perasaan ini. Aku mencapai telefon dan mendail nombor sahabat baikku, Armi Adila. Dia satu-satunya sahabat untuk aku berkongsi suka dan duka. Dila menasihati aku supaya meluahkan saja perasaan aku kepada si dia yang selalu bermain di dalam hati, Azwar Syuwari.

Tetapi aku risau. Memang Azwar belum berkahwin. Tetapi aku tidak tahu sama ada dia sudah berpunya ataupun belum. Aku tidak pasti.

12.Mac.2016
Setelah tiga hari puas memikirkan mengenai cadangan dan kata-kata Dila, aku nekad untuk meluahkan rasa ini kepada Azwar. Akan aku cuba lapangkan dada apa sahaja keputusannya. Semakin aku memendam rasa ini, semakin kuat ia mencengkam dada. Aku penat untuk terus begini. Menyimpan rasa dan perasaan yang belum pasti.

13. Mac. 2016
Telefon aku genggam kemas. Aku cuba mengatur ayat sebaik dan secantik yang mungkin. Aku takut aku tersalah langkah. Adakah betul tindakan aku ini? Setelah menarik nafas dan menenangkan diri, jari jemari mula bergerak. Ayat ku susun sebaik mungkin. Setelah puas dengan ayat yang ditaip, butang “send” pada Whatsapp aku tekan.

Jantungku berdetak kencang apabila mendengar bunyi whatsapp yang menandakan ada mesej masuk. Aku merenung telefon Samsung A5 milikku. Lama. Lantas aku mencapai telefon dan membuka peti masuk Whatsapp. “ Aira Malikha, saya cukup senang berkawan dengan awak tetapi tidak lebih daripada itu. Saya harap awak faham. Maaf, hati saya telah terpaut pada insan lain.” Tanpa ku sedar, air mata bergenang di kelopak mata. Aku malu.

17. Mac. 2016
Aku cuba untuk buang dan menepis segala rasa yang ada buat Azwar. Aku sedar mungkin dia bukan jodoh yang terbaik buat aku. Empat hari aku bercuti memberi ruang kepada diri dan hati sendiri. “Azwar Syuwari, mengapa kita harus bertemu dan mengapa aku perlu mempunyai rasa begini padamu. Tahukah engkau betapa sakitnya diri ini merindui orang yang tak sudi? Menyayangi orang yang tidak menyangi kita kembali?“

Hati, tolong kuat. Aku tidak sanggup lagi untuk terus begini. Sejak hari itu, aku dapat rasakan Azwar seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada aku.

18. Mac. 2016
Hari ini aku ingin berehat di rumah sahaja. Namun, satu panggilan masuk membuatkan dadaku berdebar. “Azwar Syuwari”. Dia memberitahu ingin berjumpa aku untuk menyerahkan polisi takaful aku yang telah siap. Entah kenapa hati aku berbunga riang. Meskipun hanya sebab urusan penting, tetapi aku begitu gembira.

19. Mac. 2016
Setelah pertemuan dengan Azwar semalam, hati aku semakin kuat merinduinya. Setiap kali lepas solat, akan kuhadiahkan Al Fatihah buatnya sebagai tanda rinduku. Aku tidak pernah jemu berdoa untuknya.

25. Mac. 2016
Aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana nun jauh di Utara Tanah Air. Mungkin ini yang terbaik. Semoga dengan ini aku akan dapat melupakan Azwar. Aku berdoa agar Azwar bahagia di samping insan yang disayanginya. Suatu hari nanti pasti Allah akan mengurniakan aku kebahagiaan dengan orang yang menyayangi diriku. Cukuplah setakat ini aku merindui dia.

***

Azwar terduduk setelah membaca diari milik Aira Malikha. Diari itu dijumpainya ketika dia menolong membawa kereta Malikha ke bengkel. Kebetulan, dia melalui jalan itu untuk pulang ke rumah. Patutlah Malikha beria-ia menolak pelawaannya untuk membawa kereta ke bengkel.

Sebenarnya dia teragak-agak untuk membuka diari yang dijumpainya di celah kerusi di dalam kereta milik Malikha. Namun, hati dan perasaannya meronta-ronta ingin mengetahui isi diari tersebut. Pasti Malikha tercicir diari ini ketika kelam kabut turun daripada kereta tadi.

Azwar terasa bodoh kerana tidak dapat menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Dia mengejar cinta Uzma Sarhana yang sedikitpun tidak pernah menaruh hati padanya. Cuma dia yang bertepuk sebelah tangan. Ketika itu, sedikit pun dia tidak memberi peluang kepada dirinya untuk mengenali Malikha, yang begitu sayangkannya.

“Masih sayangkah Malikha padanya? Masih adakah sedikit perasaan kasih Malikha padanya?” Soal Azwar di dalam hati. Dia perlu mencari Malikha. Dia perlu memberi peluang kepada dirinya dan Malikha untuk saling mengenali hati budi. Jika hati Malikha sudah tertutup buatnya, dia akan cuba untuk menawan hati itu semula. Itu tekadnya.

***

Azwar terus memandu ke Utara Tanah Air setelah mendapat tahu Malikha berada di sana. Setelah 7 jam memandu, dia tiba di destinasi yang dituju. Satu pesanan ringkas dihantar kepada Malikha. “Assalamualaikum Malikha. Saya nak jumpa awak. Saya berada di hadapan bangunan dewan utama universiti awak.”

Malikha yang baru selesai kuliah begitu terkejut dengan satu pesanan yang baru diterimanya. Dua tiga kali dia melihat nama pengirim Whatsapp tersebut. Dia tidak bermimpi.

Kaki diayun laju ke tempat yang dinyatakan. Pelbagai persoalan bermain di hatinya. Ada hal penting apakah Azwar mencarinya hingga ke sini? “Assalamualaikum”. Sapa Malikha. Azwar yang membelakanginya menoleh.

“Waalaikumussalam. Malikha. Saya minta maaf dengan apa yang pernah terjadi antara kita. Bolehkah awak beri saya peluang kedua? Bolehkah awak beri peluang kepada saya untuk lebih mengenali diri awak? Saya serius. Saya bukan nak main-mainkan awak.” Jelas Azwar panjang lebar.

***     

“Assalamualaikum Azwar. Setelah memikirkan masak-masak mengenai kata-kata awak, saya bersetuju untuk memberi awak peluang. Saya berharap awak tak main-mainkan hati dan perasaan saya. Kalau awak jodoh yang tertulis buat saya, saya sangat bersyukur dan berharap agar Allah mempermudahkan semuanya.” Satu pesanan Whatssapp dihantar kepada Azwar. Malikha telah meminta sedikit masa dan ruang buat dia berfikir.

Azwar meraup muka. Lega. Dia bersyukur kerana Allah membuka hati Malikha untuk memberikan peluang kepada dirinya. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan perempuan sebaik Malikha.

“Jodoh itu rahsia Ilahi dan Dia menetapkan awak untuk saya dan saya untuk awak.” Bisik Azwar Syuwari di dalam hati seraya tersenyum.

[ASY]

#CerpenASY
#CerpenSabtuASY