Hanya Diari Menjadi Luahan Rasa Cintaku - Aira Malikha
5.
Mac. 2016
Aku
semakin tidak mengerti dengan perasaan sendiri. Sejak pertemuan pertama
dengannya pada minggu lepas, hati ini selalu teringat tentang dirinya. Walaupun
pertemuan itu hanya sekadar untuk menyelesaikan sebuah urusan penting. Entah
apa yang tidak kena dengan diriku.
7.
Mac. 2016
Hari
ini aku menerima panggilan telefon daripada si dia. Alangkah gembiranya rasa
hati. Terus rasa semangat nak buat kerja. Padahal panggilan itu hanya
memaklumkan bahawa urusan takaful aku sudah lulus. Begitu hebat auranya pada
diriku. Sepanjang hari aku hanya tersenyum sahaja. Kawan-kawan sekerja juga
hairan melihat sikapku sedemikian.
9.
Mac. 2016
Hari-hari
yang berlalu membuatkan aku semakin merindui dirinya. Jauh di sudut hati aku
rasa berdosa dengan Tuhan kerana merindui lelaki ajnabi. Tidak tahu apa yang
harus aku lakukan untuk mengurangkan rasa ini. Aku buntu. Lantas ku panjatkan
doa pada Allah memohon petunjuk-Nya.
Aku
tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan apa yang harus aku lakukan tentang
perasaan ini. Aku mencapai telefon dan mendail nombor sahabat baikku, Armi
Adila. Dia satu-satunya sahabat untuk aku berkongsi suka dan duka. Dila
menasihati aku supaya meluahkan saja perasaan aku kepada si dia yang selalu
bermain di dalam hati, Azwar Syuwari.
Tetapi
aku risau. Memang Azwar belum berkahwin. Tetapi aku tidak tahu sama ada dia
sudah berpunya ataupun belum. Aku tidak pasti.
12.Mac.2016
Setelah
tiga hari puas memikirkan mengenai cadangan dan kata-kata Dila, aku nekad untuk
meluahkan rasa ini kepada Azwar. Akan aku cuba lapangkan dada apa sahaja
keputusannya. Semakin aku memendam rasa ini, semakin kuat ia mencengkam dada.
Aku penat untuk terus begini. Menyimpan rasa dan perasaan yang belum pasti.
13.
Mac. 2016
Telefon
aku genggam kemas. Aku cuba mengatur ayat sebaik dan secantik yang mungkin. Aku
takut aku tersalah langkah. Adakah betul tindakan aku ini? Setelah menarik
nafas dan menenangkan diri, jari jemari mula bergerak. Ayat ku susun sebaik
mungkin. Setelah puas dengan ayat yang ditaip, butang “send” pada Whatsapp aku
tekan.
Jantungku
berdetak kencang apabila mendengar bunyi whatsapp yang menandakan ada mesej
masuk. Aku merenung telefon Samsung A5 milikku. Lama. Lantas aku mencapai
telefon dan membuka peti masuk Whatsapp. “ Aira Malikha, saya cukup senang
berkawan dengan awak tetapi tidak lebih daripada itu. Saya harap awak faham.
Maaf, hati saya telah terpaut pada insan lain.” Tanpa ku sedar, air mata
bergenang di kelopak mata. Aku malu.
17.
Mac. 2016
Aku
cuba untuk buang dan menepis segala rasa yang ada buat Azwar. Aku sedar mungkin
dia bukan jodoh yang terbaik buat aku. Empat hari aku bercuti memberi ruang
kepada diri dan hati sendiri. “Azwar Syuwari, mengapa kita harus bertemu dan
mengapa aku perlu mempunyai rasa begini padamu. Tahukah engkau betapa sakitnya
diri ini merindui orang yang tak sudi? Menyayangi orang yang tidak menyangi
kita kembali?“
Hati,
tolong kuat. Aku tidak sanggup lagi untuk terus begini. Sejak hari itu, aku
dapat rasakan Azwar seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada aku.
18.
Mac. 2016
Hari
ini aku ingin berehat di rumah sahaja. Namun, satu panggilan masuk membuatkan
dadaku berdebar. “Azwar Syuwari”. Dia memberitahu ingin berjumpa aku untuk
menyerahkan polisi takaful aku yang telah siap. Entah kenapa hati aku berbunga
riang. Meskipun hanya sebab urusan penting, tetapi aku begitu gembira.
19.
Mac. 2016
Setelah
pertemuan dengan Azwar semalam, hati aku semakin kuat merinduinya. Setiap kali
lepas solat, akan kuhadiahkan Al Fatihah buatnya sebagai tanda rinduku. Aku
tidak pernah jemu berdoa untuknya.
25.
Mac. 2016
Aku mendapat
tawaran untuk melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana nun jauh di Utara Tanah Air.
Mungkin ini yang terbaik. Semoga dengan ini aku akan dapat melupakan Azwar. Aku
berdoa agar Azwar bahagia di samping insan yang disayanginya. Suatu hari nanti
pasti Allah akan mengurniakan aku kebahagiaan dengan orang yang menyayangi
diriku. Cukuplah setakat ini aku merindui dia.
***
Azwar
terduduk setelah membaca diari milik Aira Malikha. Diari itu dijumpainya ketika
dia menolong membawa kereta Malikha ke bengkel. Kebetulan, dia melalui jalan
itu untuk pulang ke rumah. Patutlah Malikha beria-ia menolak pelawaannya untuk
membawa kereta ke bengkel.
Sebenarnya
dia teragak-agak untuk membuka diari yang dijumpainya di celah kerusi di dalam
kereta milik Malikha. Namun, hati dan perasaannya meronta-ronta ingin
mengetahui isi diari tersebut. Pasti Malikha tercicir diari ini ketika kelam
kabut turun daripada kereta tadi.
Azwar
terasa bodoh kerana tidak dapat menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Dia
mengejar cinta Uzma Sarhana yang sedikitpun tidak pernah menaruh hati padanya. Cuma
dia yang bertepuk sebelah tangan. Ketika itu, sedikit pun dia tidak memberi
peluang kepada dirinya untuk mengenali Malikha, yang begitu sayangkannya.
“Masih
sayangkah Malikha padanya? Masih adakah sedikit perasaan kasih Malikha padanya?”
Soal Azwar di dalam hati. Dia perlu mencari Malikha. Dia perlu memberi peluang
kepada dirinya dan Malikha untuk saling mengenali hati budi. Jika hati Malikha
sudah tertutup buatnya, dia akan cuba untuk menawan hati itu semula. Itu tekadnya.
***
Azwar
terus memandu ke Utara Tanah Air setelah mendapat tahu Malikha berada di sana. Setelah
7 jam memandu, dia tiba di destinasi yang dituju. Satu pesanan ringkas dihantar
kepada Malikha. “Assalamualaikum Malikha. Saya nak jumpa awak. Saya berada di
hadapan bangunan dewan utama universiti awak.”
Malikha
yang baru selesai kuliah begitu terkejut dengan satu pesanan yang baru
diterimanya. Dua tiga kali dia melihat nama pengirim Whatsapp tersebut. Dia tidak
bermimpi.
Kaki
diayun laju ke tempat yang dinyatakan. Pelbagai persoalan bermain di hatinya. Ada
hal penting apakah Azwar mencarinya hingga ke sini? “Assalamualaikum”. Sapa Malikha.
Azwar yang membelakanginya menoleh.
“Waalaikumussalam. Malikha. Saya minta maaf
dengan apa yang pernah terjadi antara kita. Bolehkah awak beri saya peluang
kedua? Bolehkah awak beri peluang kepada saya untuk lebih mengenali diri awak? Saya
serius. Saya bukan nak main-mainkan awak.” Jelas Azwar panjang lebar.
***
“Assalamualaikum
Azwar. Setelah memikirkan masak-masak mengenai kata-kata awak, saya bersetuju
untuk memberi awak peluang. Saya berharap awak tak main-mainkan hati dan
perasaan saya. Kalau awak jodoh yang tertulis buat saya, saya sangat bersyukur
dan berharap agar Allah mempermudahkan semuanya.” Satu pesanan Whatssapp
dihantar kepada Azwar. Malikha telah meminta sedikit masa dan ruang buat dia
berfikir.
Azwar
meraup muka. Lega. Dia bersyukur kerana Allah membuka hati Malikha untuk memberikan
peluang kepada dirinya. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan perempuan sebaik
Malikha.
“Jodoh
itu rahsia Ilahi dan Dia menetapkan awak untuk saya dan saya untuk awak.” Bisik
Azwar Syuwari di dalam hati seraya tersenyum.
[ASY]
#CerpenASY
#CerpenSabtuASY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan