Cerpen 2: Andai Itu Takdirku

Walaupun musim bersilih ganti, namun hatiku padamu tetap seperti dulu


"Eh, abang dah balik? Tak dengar abang bagi salam. Sayang tengah goreng pisang tadi," bicara Zureen Sofea apabila mendengar pintu rumah mereka ditutup.

"Wah, sedapnya pisang goreng tu. Tapi takyah letak cheese ye sayang."

Zureen Sofea tahu suaminya tidak begitu menggemari makanan yang diberi penambahanbaikan seperti pisang cheese, murtabak cheese, dan sebagainya.

"Amboi, rambut ikat toncang dua," seloroh suaminya sesudah menyalin pakaian kerja kepada Tshirt berwarna merah muda dan kain pelikat.

"Hehe. Kalau Sayang happyy, Sayang ikat rambut toncang dua macam ni lah." Balas Zureen Sofea manja dan sedikit menggoyangkan kepala ke kiri dan ke kanan.

"Apa yang buat Sayang happy hari ini?" tanya suaminya melayan telatah Zureen Sofea.

"Sayang happy sebab dah rasa baby kita ni gerak-gerak!!" jerit Zureen Sofea dengan penuh keriangan.

"Yeke. Abang pun happy jugak," balas suaminya menambah kegembiraan Zureen Sofea. Wajah suaminya sedikit berkerut.

Fikiran Zureen Sofea terkenang pada hari pertama pertemuan mereka, kira-kira sembilan bulan yang lalu. Pertemuan yang diatur oleh kawan baik mereka, Man Dedak dan juga Zahra Aisyah. Man Dedak merupakan tokey dedak dan baja yang amat terkenal di kampung suaminya. Zahra Aisyah pula kawan sekolej Zureen Sofea.

Pada masa itu, Asyraf Safaraz begitu pemalu dan tidak banyak bercakap. Tetapi sempat juga mencuri pandang wajah manis dan lembut Zureen Sofea. Redup matanya pasti menawan hati sesiapa sahaja yang memandang.

Walaupun bersahaja dan tenang orangnya, Asyraf Safaraz mempamerkan sesuatu yang berkualiti yang patut ada dalam diri setiap jejaka. Iaitu memesan makanan tanpa perlu melihat pada menu makanan. Ciri-ciri ini susah hendak dicari.

"Nasi goreng daging dan Ice Lemon Tea," ujar Asyraf Safaraz tenang setelah mengambil tempat duduk di meja makan. Kelihatan Man Dedak masih menyelak menu makanan berkulit tebal itu.

"Sepatutnya usai melangkah ke dalam kedai makan, keputusan telah dibuat dengan yakin serta tidak berubah. Bukannya 5 minit pelayan tercegat disitu baru fikir nak makan apa," bisik Zureen Sofea di dalam hati, membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian tingkah laku Asyraf Safaraz. Zureen tersenyum manis lalu membuat pesanan yang sama dengan Asyraf Safaraz.

Selepas 3 bulan saling mengenali, mereka terus berkahwin. Perkahwinan yang direstui oleh kedua-dua belah keluarga. Bahagianya hanya Allah yang tahu. Dua bulan selepas itu, Zureen Sofea pula disahkan mengandung anak mereka. Bercucuran air mata Asyraf Safaraz dan Zureen Sofea, tanda syukur dan gembira.

"Sayang!! Dah nak hangus pisang goreng tu," jerit Asyraf Safaraz selepas meneguk air milo di dalam peti sejuk.

Terus fikiran Zureen Sofea membawanya kembali ke dunia nyata.

"Hehehehe... Sayang tahu lah," bicara Zureen Sofea sambil tersengih menutup malu. Sempat lagi dia mengelamun.

Bahagianya mereka seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Bahagia itu juga diungkap melalui rambut tocang dua yang diikat oleh Zureen Sofea. Jarang dia mengikat rambut tocang dua. Kalau rambutnya bertocang dua, itu bererti dia sedang dan sangat bahagia.

Kali terakhir Zureen Sofea mengikat rambut tocang dua adalah ketika dia disahkan mengandung. Ketika itu dia sangat bahagia.

Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berdering. Lagu "Terakhir" nyanyian Sufian Suhaimi bergema.
Lamunan kebahagiaan Zureen Sofea lenyap begitu sahaja. Ternyata dia hanya mampu menjemput memori lima bulan lalu ke alam realitinya. Air mata dia kesat perlahan-lahan.

"Puan Zureen, saya Puan Natasha yang menguruskan takaful arwah suami puan. Prosedur pembayaran takaful arwah suami Puan telah selesai. Tetapi Puan perlu datang ke pejabat untuk menandatangani beberapa dokumen penting" bicara si pemanggil lancar dan teratur.

"Abangggg..." sebutan abang yang begitu lemah dan tidak bertenaga dicampuri dengan tangisan yang teresak-esak bergema di ruang tamu rumahnya. Pilunya hati hanya Allah yang tahu.

Dia tidak tahu harus bagaimana mana lagi. Sudah puas dia menangis. Tetapi kesedihan itu kian menghimpit dada.

Zureen Sofea belum dapat melepaskan pemergian arwah suaminya dengan sepenuh hati. Dia sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hanya enam bulan dia sempat merasa kebahagiaan bersama Asyraf Safaraz. Allah lebih sayangkan arwah suaminya.

Bukan mudah untuk dia menerima kemalangan yang meragut nyawa Asyraf Safaraz enam bulan yang lalu. Tidak semudah itu untuk melupakan Asyraf Safaraz. Kebahagiaan yang direntap dengan tiba-tiba.
"Ya Allah, kenapa Engkau mengambil dia daripada aku di saat kami baru menyulam bahagia?" rintihnya di dalam hati. Kemudian, dia cepat-cepat beristighfar. Siapa dia hendak mempersoalkan takdir Yang Maha Esa.

Perut yang sedikit membukit itu digosok lembut. "Sayang, kuat dengan mama ya. Sayang mesti jadi anak yang kuat macam papa," ujar Zureen Sofea kepada anak dalam kandungannya sambil menahan sebak.

Selepas meraup mukanya tiga kali dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada arwah suaminya, dia bingkas bangun dengan lemah menuju bilik air untuk berwuduk lalu menunaikan solat Asar. Dia berdoa semoga arwah suaminya ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

Zureen Sofea berjanji pada diri sendiri akan cuba redha dan menerima takdir ini dengan hati yang terbuka. Meskipun dia tahu, dia perlukan waktu untuk itu. Menyedari ada nyawa dan amanah lain yang perlu dijaga, dia harus kuat dan tabah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

[ASY]

Tiada ulasan: