Cerpen 4: Hilangnya Warna Pelangi

Dulu kau berjanji akan mencintaku selama-lamanya, tetapi mengapa begitu mudah kau berubah hati

Nama aku Afuza Haikal. Ini kisah hidup aku. Aku sudah berkahwin. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Isteri aku, Aliya Atilia seorang wanita yang mampu menawan hati sesiapa sahaja yang memandangnya.

Setelah empat tahun berkahwin, kami dikurniakan seorang cahaya mata yang cukup comel, Arissa Heliza. Tidak lama lagi, Arissa pula akan menjadi kakak. Bertambah seri keluarga kami. Dahulu, Atilia bekerja sebagai jurutera di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu negara. Atas permintaanku sebagai suami, dia sanggup meninggalkan kerjaya impiannya dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Lagipun, aku lebih daripada mampu untuk menyara keluargaku.

Sejak dua menjak ini, aku agak sibuk menguruskan sebuah projek besar. Boleh dikatakan setiap hari aku akan pulang lewat. Namun, Atilia tidak pernah merungut. Dia sangat memahami tugasku. Dengan keadaannya yang semakin sarat, dia masih setia menguruskan anak dan rumah tangga tanpa sedikit keluhan.

Desakan kerja memerlukan aku kerap untuk bertemu dengan Datuk Johan untuk berbincang mengenai beberapa perkara tentang projek yang sedang diuruskan. Setiap kali bermesyuarat Datuk Johan akan ditemani setiausahanya, Puteri Balqis. Suatu hari, Datuk Johan meminta aku untuk menghantar Puteri Balqis pulang kerana beliau mempunyai urusan keluarga. Sejak saat itu, hubungan aku dan Puteri Balqis semakin rapat. Boleh dikatakan setiap hari aku akan menghantar dia pulang.

Lama-kelamaan, hati aku mula terpaut dengan Puteri Balqis. Orangnya biasa-biasa sahaja tetapi penampilannya sentiasa bergaya dan bibirnya sentiasa tersenyum manja menggoda. Setiap hujung minggu kami pasti akan keluar bersama-sama. Apa sahaja yang dimintannya pasti akan kutunaikan biarpun nilainya mencecah ribuan ringgit. Alasan yang kuberikan kepada Atilia ialah kerja dan Atilia menerima tanpa sebarang persoalan.

Aku tidak tahu kenapa masih ada ruang kosong yang perlu diisi dalam hati ini. Atilia lengkap serba serbi. Mungkin aku tamak ataupun mungkin aku mahu yang lebih sempurna.

Setelah puas berfikir, aku nekad untuk melamar Balqis menjadi isteri keduaku. Hasrat itu kusampaikan kepada Atilia. Aku sudah bersedia untuk menerima apa sahaja reaksi Atilia. Aku pasti akan berlaku peperangan yang hebat malam ini. Jangkaanku meleset. Atilia sangat tenang mendengar hasrat hatiku. Cuma satu permintaannya, dia ingin bertemu Balqis.

Lambat rasanya menunggu hari esok. Aku sudah tidak sabar untuk menyampaikan berita ini kepada Balqis. Balqis bersetuju bertemu Atilia tetapi aku tidak boleh tahu apa yang mereka bincangkan. Setelah selesai perbincangan antara Atilia dan Balqis, Balqis meminta diri untuk pulang. Lantas Atilia datang bertemuku.

"Saya izikan abang berkahwin dengan Balqis tetapi saya tidak mahu bermadu," kata Atilia seraya berlalu ke dalam bilik.

Lama aku berfikir. Kemudian, aku menelefon Balqis. Balqis bersetuju untuk berkahwin denganku. Katanya dia juga amat menyayangiku. Suaranya yang manja menggoda membuatkan aku terpesona. Rasa sayang kepada Balqis makin menebal. Aku langsung tidak memikirkan perasaan Atilia.

Keesokan hari, aku terus mencari Atilia. Dia sedang membuat sarapan ketika itu.

"Atilia, abang dah fikir masak-masak. Abang akan teruskan niatkan abang untuk berkahwin dengan Balqis. Atas permintaan Atila, abang ceraikan Atilia dengan talak satu. Arissa Abang serahkan kepada Atilia."

Sesudah menamatkan ayat itu, aku lantas keluar dari rumah tanpa berpaling kepada Atilia. Air mata Atilia mula menitis perlahan-lahan. Mungkin ini takdirnya. Dia perlu kuat demi Arissa dan anak dalam kandungannya.

Aku menghubungi Balqis dan memberitahunya bahawa Atilia telah kuceraikan. Aku akan bertemu Balqis petang ini di Taman Petra Jaya untuk membincangkan tentang perkahwinan kami. Tetapi, Balqis tidak datang. Lama aku menunggu. Telefon pula hanya masuk peti suara. Aku sedar, Balqis telah mempermainkan aku. Balqis hanya inginkan wang aku sahaja.

Aku pulang ke rumah dengan hati yang marah dan kecewa. Aku mencari Atilia dan Arissa, tetapi tiada. Aku cuma berjumpa sekeping nota tercatat "Abang, halalkan makan minum saya selama menjadi isteri abang. Ampunkan segala salah silap saya. Maaf, saya tidak menjadi isteri yang baik buat abang. Selamat pengantin baru." Aku terduduk. Tanpa aku sedar, ada air mata yang mula mengalir.

***
"Afuza, dah lewat ni. Jomlah kita balik." Sapa Idlan, kawan sepejabatnya. Dia tersentak. Tak sedar dia mengelamun begitu lama. Dia menyeka air mata yang bertakung di kelopak matanya. "Atilia, di mana Atilia sekarang? Abang rindukan Atilia dan Arissa. Abang ingin menatap wajah anak kedua kita. Abang menyesal Atilia. Hidup abang sudah tidak sebahagia dulu. Pulanglah Atilia." Rintih Afuza Haikal dengan perlahan.

Sungguh, aku mengaku apa yang berlaku semua kesilapan bodohku. Aku buta untuk menilai mana kaca dan mana permata. Aku juga lupa, kesenangan dan kebahagiaan aku dahulu adalah disebabkan isteri dan anak yang sentiasa mendoakan dan menyokong aku. Kini, aku telah hilang segalanya. Aku menyesal dan sangat menyesal. Jika diberi peluang sekali lagi, aku berjanji untuk menghargai Atilia dan anak-anaknya.

"Atilia, pulanglah... Abang menanti Atilia di sini..." bicara hati kecilnya. Aku sangat menyesal. Aku sangat rasa bersalah pada Atilia ketika ini. Aku akan mencari Atilia kembali.

***


*Cerita rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan sesiapa pun*

[ASY]

Tiada ulasan: