Cerpen 5: Seindah Takdir

                                                                
Jika si dia jodoh kita, nescaya dia tetap menjadi milik kita


Nama aku Hakim Harris. Aku berusia 27 tahun. Aku anak tunggal. Kedua ibu bapaku sudah lama meninggal dunia. Dan ini kisah cinta aku.

Aku ada seorang makwe. Dia cinta pertama aku. Aku sangat mencintainya. Hubungan percintaan kami bertahan hanya dua tahun sahaja. Mungkin faktor keluarga dia yang tidak sukakan aku. Ye lah. Aku belajar hanya setakat PMR sahaja. Mungkin mereka mahu orang yang lebih terpelajar.

"Abang ada PMR, Sayang tu bakal ada ijazah. Sayang tak malu ke?"

"Abang ni, Ayang tak kisah la. Janji Abang cinta Ayang."

Aku tersenyum simpul mendengar jawapannya. Dia kini berada di menara gading. Keluar nanti bakal jadi cikgu. Aku pula kerja baiki kereta dekat Kedai Kereta Sin Chong.

"Abang, Ayang bahagia ada Abang tau."

Kata-katanya buat aku bersemangat bekerja. Kumpul duit, masuk meminang dia cepat-cepat.

Satu petang, aku dapat mesej daripada kakaknya. Macam mana dia dapat nombor telefon aku pun aku tak pasti. Mesej tersebut berbunyi;

"Assalamualaikum. Saya ni kakak Irene Medina. Saya tahu awak berdua bercinta, saling sayang antara satu sama lain. Tapi kami sekeluarga mahukan yang terbaik untuk Irene agar dia dapat hidup bahagia. Saya tahu sangat perangai Irene, dia tak boleh hidup susah. Apa yang dia mahu, mesti dia akan dapat. Mak Ayah kami tak sanggup lepaskan Irene pada orang yang tak mampu untuk mengikut kehendak dia. Macam mana nanti jika dia mahu rantai emas? Boleh awak belikan? Saya harap awak faham. Semua mahu yang terbaik untuk dia. Kalau awak sayangkan Irene, tinggalkan dia. Itu yang sebaiknya."

Aku tak pernah rasa berdebar seperti ini. Degupan jantung aku seperti orang baru habis berlari 100 meter. Sangat berdebar. Aku tahu Irene bukan jenis yang materialistik. Tapi, ada betulnya kata Kakak Irene.

Selepas dua minggu berfikir, aku nekad. Aku akan tinggalkan dia. Aku akan buat dia sakit hati sampai dia meluat dengan aku. Aku terpaksa demi kebaikan dia. Dalam tak rela aku terpaksa. Maafkan aku Irene!!!.

Aku pernah dihina oleh kawan-kawan Irene. Kononnya aku ini lelaki yang tidak berpendidikan. Mereka kata aku tidak layak untuk bersama Irene. Aku nampak jijik pada mata kawan-kawannya. Selepas aku menerima mesej daripada kakak Irene, aku tidak mempunyai pilihan. Aku terfikir untuk berpura-pura mempunyai perasaan cinta pada perempuan lain.

Aku tahu sifat cemburu perempuan sangat tinggi. Aku tak jawab panggilan dia, tak balas mesej dia. Kali terakhir aku mesej dia berbunyi, "Maaf. Saya dah tak boleh teruskan hubungan ni. Saya ada yang lain".

Dengan harapan, Irene boleh lupakan aku. Tetapi dalam hati ini hanya ada dia. Tak ada yang mampu menggantikan Irene dalam hati ini. Wajahnya sering bermain di fikiran.

Selepas dua bulan, aku dapat tahu dia sudah mempunyai pengganti. Orangnya lebih kacak dan bergaya. Bekerja sebagai jurutera. Sudah tentu gajinya lebih besar daripada aku. Aku tak kisah. Aku selalu mendoakan kebahagianya. Kini, dia nampak lebih gembira. Aku sedar, mencintai tidak semestinya memiliki.

Pada satu malam yang sunyi, sedang aku melayan radio Suria Cinta, terdengar bunyi deringan daripada telefon Nokia 3310 milikku, menandakan ada mesej yang masuk. Dengan malas aku membuka peti masuk mesej;

"Terima Kasih Harris. Irene sudah ada pengganti dan dia akan berkahwin pada bulan hadapan. Semoga awak bertemu dengan orang yang sepadan dengan awak." - Kakak Irene.

Mesej itu ku pandang sepi. Aku tak tahu apa yang patut aku buat. Aku keseorangan. Kesepian. Rasa bersalah pun ada. Terima kasih aku ucapkan kepada kawan kampung aku, Syuhada Eisya yang berpura-pura menjadi makwe aku supaya Irene membenci aku.

Cinta aku hanya pada Irene. Aku malas lagi berfikir. Biar masa dan takdir menentukan.

***
Hari ini 3 Disember. Tarikh ulang tahun percintaan aku dengan Irene yang ke empat. Entah dia ingat atau tidak. Tetapi, aku tidak pernah lupa akan tarikh tersebut. Semoga dia bahagia. Bisik hati kecil ini.

"Abang, mucuklah bau Abang. Taraaaaa... ini ada hadiah utuk Abang!!!"
"Apa ni?"
"Bukak lah"
"Ehhh. Minyak wangi"
"Buuuuvagaari.
"Susahnya nak sebut"
Dia ketawa sahaja melihat telatah aku.

***
"Maafkan saya encik. Saya tak sengaja tumpahkan air atas baju encik." Suara seseorang mengembalikan aku ke alam nyata. Jauh betul aku mengelamun.

Aku mengangkat muka memandang si empunya suara yang menegur. Mata aku terpaku. Bibir pula seperti digam. Sungguh aku tidak menyangka, seorang wanita yang sangat aku rindui berdiri betul-betul di hadapanku. Dia juga kelihatan terkejut.

"Irene Medina", sapa aku. Dia ingin berlalu tetapi aku menahan. "Saya minta maaf dengan apa yang sudah aku lakukan dulu. Apa yang saya lakukan bukan atas kehendak saya. Tetapi saya bersyukur melihat awak begitu bahagia tanpa saya."

Terasa berat yang menghimpit dada selama ini beransur hilang setelah dapat menuturkan kata maaf. Kalau Irene ingin mengamuk sekalipun aku tidak kisah.

"Bahagia? Mana awak tahu saya bahagia? Memang saya berkahwin dengan pilihan keluarga setelah awak tinggalkan saya. Tetapi, perkahwinan kami hanya bertahan untuk setahun sahaja. Saya dan dia tidak serasi. Dia sangat panas baran. Kami sudah bersepakat untuk membawa haluan masing-masing." Terang Irene dengan cukup tenang.

"Maafkan saya." Hanya itu yang mampuku ungkapkan.

"Tidak mengapa Harris. Saya menerima dengan hati yang redha. Mungkin ini jalan cerita hidup saya. Saya juga sudah maafkan awak. Untuk apa lagi mahu berdendam jika semuanya sudah berlalu. Memang saya sangat marahkan awak dulu, tetapi tidak lagi sekarang. Saya juga sudah tahu sebab awak tinggalkan saya. Kakak saya sudah menceritakan semuanya. Oh ya, awak pula macam mana sekarang?"

"Saya masih Hakim Harris yang dulu. Tidak pernah berubah. Cuma yang berubah kerja saya aje lah." Balas Harris.

Setelah pertemuan itu, aku dan Irene berhubung kembali. Kami bertukar-tukar nombor telefon dan sering bertanya khabar. Setelah berfikir sedalam-dalamnya, aku menyampaikan hasrat hati kepada Irene untuk menjadikannya permaisuri di hatiku. Dia bersetuju dan meminta aku untuk berjumpa dengan keluarganya.

Alhamdulillah, benar kata orang. Kalau dah jodoh tak ke mana. Kedua-dua belah pihak merestui hubungan kami. Malah, keluarga Irene meminta maaf padaku dengan apa yang telah terjadi dua tahun lalu.

Kini, aku dan Irene sudah sah menjadi suami dan isteri. Aku berjanji akan menjaga Irene dengan sebaik-baiknya. Tanpa aku sedar, ada air mata yang bergenang di kelopak mataku. Aku sangat bersyukur dan gembira atas nikmat dan peluang yang Allah berikan padaku. Semoga rumah tangga kami bahagia hingga ke syurga.

***
Jodoh itu rahsia Ilahi. Adakalanya kita ditemukan dengan orang yang salah pada mulanya dan ditemukan jodoh yang sesuai di pengakhirannya. Yang penting kita kena banyak bersabar. Tulang rusuk dan pemiliknya tidak akan pernah tertukar.

Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak azali lagi.

***


[ASY]

Tiada ulasan: