Cerpen 6: Cinta Terakhir

Mungkin awak bukan cinta pertama saya, tetapi saya yakin awaklah cinta terakhir saya


"Abang, Wiyah tak pandai masak tau. Tapi Wiyah akan cuba masak juga untuk suami tercinta Wiyah ni." Luah Adawiyah Safiyah sambil menghantar suaminya di pintu rumah untuk pergi bekerja.

"Apa gunanya kita hidup bersama ni Sayang. Kita boleh masak sama-sama, kita Google resepi nanti ye", jawab suaminya tenang.

Sambil tersenyum, dia membetulkan tali leher suaminya. Suaminya sempat mencuri mengucup dahi Adawiyah Safiyah yang putih licin. Adawiyah Safiyah tersenyum lagi. Kemudian, dia kembali ke dapur untuk membasuh cawan dan pinggan yang digunakan untuk sarapan tadi.

Dia tersenyum sendiri. Adawiyah sangat bersyukur dan rasa bertuah memiliki suami sebaik Ayaaz Safaraz. Suami yang sangat penyayang, baik dan memahami dirinya. Ayaaz banyak membimbingnya ke arah kebaikan. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Dia yakin itu.

"Abang balik lewat sikit hari ini. Cadang nak pergi jenguk Encik Razif Haikal, bos Abang masuk hospital"

Suaminya sempat memesan padanya di muka pintu tadi. Nama Razif yang disebut oleh suaminya membawa dia kepada kenangan lalu. Lantas fikirannya terbang kembali mengenang kisah tiga tahun dahulu.

***

Razif Shaqeef. Sebaris nama itu pernah membuatkan dia tersenyum suatu ketika dahulu. Razif merupakan lelaki pertama yang buat dia jatuh cinta. Mereka saling mengenali ketika di alam universiti. Hampir dua tahun menyulam rasa dan cinta, akhirnya terlerai di tengah jalan.

Razif boleh dikatakan seorang lelaki yang agak pendiam, baik dan alim. Berbeza dengan dirinya yang peramah. Ramai kawan-kawannya yang mengatakan dia tidak sepadan dengan Razif. Perwatakan mereka berbeza. Dia lebih suka bersosial tetapi tidak Razif. Dia tidak kisah. Baginya, perbezaan itu saling melengkapi. Dia terima Razif seadanya.

Selepas dua tahun bercinta, Razif mula berubah. Apabila dia mengajak Razif makan bersama ataupun keluar berjalan-jalan pada hujung minggu, Razif pasti akan cuba menolak. Dia mula pelik. "Apa yang sedang berlaku? Sudah berubahkah kasih Razif padanya? Kalau ya, apa sebabnya?" Bisik Adawiyah di dalam hatinya.

Setiap kali dia bertanya kepada Razif kenapa Razif berubah, Razif pasti akan cuba mengelak. Dia teringat perbualannya dengan Razif kira-kira seminggu yang lepas. "Awak, kenapa saya nampak awak lain sekarang ni? Cuba bagitau saya apa sebabnya? Awak dah ada orang lain?" Tanya Adawiyah bertubi-tubi. "Awak ni suka fikir bukan-bukan. Takde apalah. Saya sibuk sikit dengan assignment." Balas Razif. Namun Adawiyah tidak berpuas hati dengan jawapan itu.

Hari ini dia nekad. Dia akan pergi bertemu Razif. Dia tidak tahan untuk terus begini. Semakin lama berfikir Adawiyah menjadi semakin tertekan. Dia perlu tahu sebabnya. Biar jelas segala-galanya.

"Razif!!"Jerit Adawiyah. Razif berpaling. Kelihatan dia terkejut dengan kedatangan Adawiyah yang tiba-tiba. "Saya hendak berbincang dengan awak". Razif mengikuti langkah Adawiyah. Sampai di tepi tasik berhampiran universiti mereka, Adawiyah bersuara.

"Razif, saya perlukan penjelasan awak. Jangan buat saya macam ni. Kalau saya ada silap dengan awak, bagitau la. Kalau awak ada orang lain, berterus teranglah dengan saya. Saya tidak betah untuk hidup dengan pelbagai persoalan tanpa jawapan. Tolonglah." Luah Adawiyah dengan suara yang sayu.

"Fiya, saya tak tau nak terangkan macam mana. Saya tak sampai hati sebenarnya. Jujur saya katakan, saya tidak ada perempuan lain. Awak juga tidak ada salah dengan saya." Terang Razif dengan tenang.

"Kalau begitu, apa sebabnya Razif? Kenapa? Kenapa awak buat saya macam ni. Kenapa awak buat saya tertanya-tanya? Kenapa awak dera hati dan perasaan saya? Kenapa Razif? Kenapa???". Suaranya tenggelam timbul diselangi dengan esakan kecil.

"Fiya, saya minta maaf. Saya rasa tak mampu lagi nak teruskan hubungan ni. Bukan sebab tak sayangkan awak. Tapi, saya malu dengan kawan-kawan saya. Kita berdua jauh berbeza. Cara awak berpakaian, cara awak bergaul tak sama dengan saya. Saya nakkan seseorang yang setaraf dengan saya. Saya harap awak faham maksud saya."

Luluh hati Adawiyah mendengar penjelasan Razif. Benar kata kawan-kawannya, dia dan Razif memang tidak sepadan. Kalau lah dia mendengar nasihat mereka dahulu, pasti keadaan tak akan jadi begini. Dia silap. Dia sangkakan Razif menyayangi dan menerima dia seadanya.

"Sampai hati awak Razif. Saya tau saya tak sebaik perempuan lain. Saya bersosial dan pakai pun ketat sana sini. Kalau awak tak suka, kenapa awak tak tegur saya? Kenapa awak terus biarkan saya macam ni? Saya sangka awak sayang dan terima saya seadanya. Saya silap. Awak mainkan hati dan perasaan saya. Kenapa dulu awak ajar saya mencintai awak? Kenapa?? Awak kejam." Bicara Adawiyah seraya berlalu pergi. Dia tidak kuat lagi untuk terus berhadapan dengan Razif.

Patut pun Razif pernah mesej padanya, "Nak tak kita cuba tak contact sebulan? Kita tengok siapa yang tak boleh tahan rindu". Adawiyah rasa pelik. Adawiyah bukanlah jenis yang suka sangat mesej setiap minit, bergayut telefon setiap jam. Dia mahukan orang yang serius membina rumah tangga selepas tamat belajar nanti.

Tidak lama daripada peristiwa itu, dia dikhabarkan Razif sudah mempunyai pengganti. Seorang penuntut di Universiti Islam Malaysia. Sopan santun dan berniqab orangnya. Mungkin itulah perempuan yang Razif cari. Perempuan yang ada ciri-ciri Islamik dalam dirinya.

Dia menerima dengan hati yang redha. Dia pasrah. Mungkin perempuan yang jauh daripada agama macam dirinya tidak layak untuk berdampingan dengan lelaki yang beriman, yang mampu menegur dan membimbingnya ke jalan yang lurus.

Walaupun dia suka bersosial, tetapi tidaklah sampai melanggar hukum syarak. Dia masih patuh dengan rukun Islam dan rukun Iman.

Adawiyah pernah terbaca satu kata-kata "Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat". Mungkin bakal jodohnya adalah lelaki yang jahat. Dia mula menitiskan air mata. Pilu.

***

"Mama, adik lapar". Suara kecil Aryana Sufyana mengembalikan dia ke alam nyata. Dia menyapu air mata yang bergenang di kelopak mata. Senyuman anak sulungnya menghilangkan segala kesedihan yang bertamu di hati.

Dia besyukur dengan apa yang dikecapinya pada hari ini. Dia bukan lagi Adawiyah yang dahulu. Dia sudah banyak berubah sejak berkahwin dengan Ayaaz. Dia juga berdoa semoga Razif Shaqeef dipertemukan dengan jodoh yang baik. Dia sudah memaafkan Razif. Tidak guna lagi berdendam.

Ayaaz Safaraz merupakan lepasan universiti di salah sebuah universiti di Mesir. Dia banyak mengajar Adawiyah tentang agama. Dia mendidik Adawiyah dengan sebaik-baiknya. Dia tidak menghina, mencaci ataupun meninggalkan Adawiyah terkapai-kapai mencari jalan pulang.

Kata Ayaaz Safaraz, ada sebab Tuhan jodohkan mereka berdua. Tuhan hantarkan Ayaaz supaya memberi tunjuk ajar dan ilmu agama supaya Adawiyah menjadi seseorang yang lebih baik. Jika kita melihat orang yang kurang agama, janganlah kita melihat mereka seperti mereka ahli neraka dan kita ahli syurga. Kita tidak tahu amal kita, sama ada solat kita diterima oleh Tuhan atau tidak. Mungkin yang banyak dosa tu sudah bertaubat dan amalannya lagi banyak daripada kita. Siapa tahu.

"Jika semua orang hendak berkahwin dengan perempuan yang alim, siapa lagi yang hendak menolong perempuan yang kurang didikan agama. Kan?" tambah Ayaaaz Safaraz selepas solat maghrib bersama Adawiyah Safiyah minggu lepas.

Baru-baru ni ada Razif Shaqeef menghantar mesej kepada Adawiyah di Facebook. "Assalamualaikum Adawiyah Safiyah. Saya tengok awak sudah banyak berubah. Banyak post tentang ilmu agama dan hadis-hadis. Macam mana hidup awak sekarang? Awak masih sendiri? Saya rasa nak jadikan awak isteri kedua saya."

"Gila" perkataan itu terkeluar spontan daripada mulut Adawiyah Safiyah. Dia langsung tidak meletakkan gambarnya mahupun gambar suami, gambar keluarga kecilnya di Facebook. Itu membuatkan Razif Shaqeef berasa Adawiyah Safiyah masih single. Selepas itu, terus di block FB Razif Shaqeef dengan hati yang puas.

Kini, dia sangat bahagia dengan kehadiran Aryana Sufyana, hasil perkongsian hidupnya dengan Ayaaz Safaraz. Tidak lama lagi Aryana akan menjadi kakak. Doanya semoga Allah sentiasa memelihara keluarga kecilnya ini.

Ayaaz Safaraz bukanlah cinta pertamanya, tetapi dia berjanji Ayaaz Safaraz akan menjadi cinta terakhirnya.


[ASY]

Tiada ulasan: